Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.

KUANTAN – Semua penuntut sama ada di madrasah, tahfiz atau pengajian pondok di Pahang merupakan aset bukannya dilihat seperti anak-anak ayam.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, golongan itu sewajarnya dilindungi daripada segi aspek kebajikan seperti kesihatan, keselamatan dan pendidikan supaya terus terpelihara.

”Anak-anak kita adalah satu aset kepada negeri ini kepada keluarga kita dan kepada keluarga masyarakat kita. Jangan kita ambil sambil lewa sahaja. Tempat tinggal tidak bersih, makanan tidak berkhasiat.

”Ini anak-anak ada ibu dan ayah bukan anak-anak ayam. Jadi jangan kita beri layanan seperti kepada ayam. Anak ayam pun ada pembelanya, ini pula anak-anak kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah anakanandanya, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda bertitah, kualiti keselamatan anak-anak pondok dan tahfiz mesti menjadi keutamaan dan baginda tidak mahu lagi berlaku insiden kebakaran  di insitusi berkenaan di negeri ini.

Menurut Sultan Pahang sekurang-kurangnya enam kejadian kebakaran melibatkan maahad tahfiz, madrasah dan pondok telah berlaku berpunca daripada masalah pendawaian elektrik antara tahun 2017 sehingga tahun 2022 lalu.

Susulan itu Al-Sultan Abdullah tidak berkompromi daripada segi kualiti madrasah atau pun institusi atau pondok itu sendiri termasuk kualiti pembelajaran, tenaga pengajar,  makanan, kesihatan, tempat tinggal, tahap keselamatan dan lain-lain.

Sementara itu, baginda turut bertitah dakwaan isu penyelewengan akidah yang berlaku di rumah amal berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) perlu dibendung.

”Kebelakangan kita kita sibuk isu-isu GISBH mengejutkan satu Malaysia dan ini melibatkan kanak-kanak dan anak-anak kita. Saya berdoa ini tidak berlaku di negeri Pahang. Saya ingin membuat sedikit ingatan, jauhi perbuatan seperti ini.

”Saya sama sekali tidak akan mengizinkan perkara-perkara tidak bertanggungjawab serta mencemar nama baik agama Islam ini dibiarkan berlaku di negeri Pahang,” titahnya.

Titah baginda, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam persidangan ini perlu sentiasa bersiap-siaga untuk memastikan fenomena memperalatkan agama dan pengaaniyaan kanak-kanak ini tidak terjadi atau menular di Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast