Dua pelancong warga China maut dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit sebuah bangunan heritage di Lebuh Gereja, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua pelancong warga China maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit sebuah bangunan warisan di Lebuh Gereja, di sini, hari ini.

Mayat wanita berusia 30-an itu ditemui pihak bomba di tempat duduk penumpang hadapan manakala lelaki berusia 50-an pula di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Difahamkan, dua pelancong itu berada dalam kereta bersama pemandu pelancong warga tempatan namun wanita itu sempat melarikan diri.

Komander Operasi, Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba Pulau Pinang, Muhammad Syafiq Noor Azman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.19 petang dan pasukan penyelamat tiba di lokasi enam minit kemudian.

Muhammad Syafiq.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiga kereta dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit itu dan terdapat dua mangsa dalam salah sebuah kereta.

“Susulan itu, kita dengan kerjasama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan kerja-kerja memotong pokok sebesar tiga pemeluk manusia itu sebelum menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan ia sepenuhnya.

“Kita kemudian mengeluarkan kedua-dua mangsa warga China yang tersepit itu pada jam 5.15 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Mayat dua pelancong itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut Muhammad Syafiq berkata, operasi menyelamat menghadapi pelbagai cabaran termasuk cuaca yang tidak menentu selain kesukaran kren melalui kawasan tersebut susulan sempit.

“Bagaimanapun, pasukan penyelamat berjaya mengatasi cabaran ini dan menyelesaikan operasi dalam tempoh tiga jam.

“Kita tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang dilanda ribut dan angin kencang sejak kebelakangan ini yang menjadi punca pokok tersebut tumbang namun lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here