Noraini menziarahi rumah bekas Bendahari UMNO Cawangan ilham Dato Amar, Mat Jaafar, 78, di Taman Ilham, Kluang, hari ini.

KLUANG – Tiada sabotaj dalam kalangan jentera wanita UMNO meskipun calon daripada sayap parti itu tidak dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jentera wanita UMNO memberi sokongan tidak berbelah, sekali gus tiada isu protes daripada mereka.

“Jentera wanita bergerak seperti biasa malah kami bukan sahaja jentera wanita tetapi juga jentera dari Parlimen dan bahagian dari negeri lain berada di sini.

“Fokus kita untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN). Kami sebagai jentera parti akur (calon bukan dipilih daripada kuota wanita UMNO).

“Kita akan kerja keras membantu memenangkan calon BN. Seperti biasa wanita UMNO akan terus bantu memenangkan calon BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menziarahi rumah bekas Bendahari UMNO Cawangan Ilham Dato Amar, Mat Jaafar, 78, di Taman Ilham, di sini, hari ini.

Noraini mengulas dakwaan Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri bahawa berlaku perpecahan dalam kalangan jentera BN kerana calon wanita tidak dipilih sebagai calon PRK DUN Mahkota.

Mengulas lanjut, beliau menafikan berlaku perpecahan dalam kalangan jentera BN seperti dikatakan, sebaliknya keadaan itu berlaku dalam jentera PN.

Beliau yakin dengan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah untuk menang PRK DUN Mahkota yang mempunyai kredibiliti dan muda serta mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin.

Noraini mengucapkan terima kasih kepada semua jentera bukan sahaja BN tetapi juga daripada jentera Pakatan Harapan (PH) yang turun membantu.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

Syed Hussien akan bertemu dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here