Calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah ketika berkempen bersama komuniti masyarakat India sempena PRK DUN Mahkota di Balai Raya Kampung Padang Tembak, di Kluang, Johor, malam tadi

KLUANG – Lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda serta bantuan dan sokongan untuk mereka meningkatkan taraf hidup.

Itu antara harapan masyarakat India dalam pertemuan bersama calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah di Balai Raya Kampung Padang Tembak malam tadi.

Seorang pesara kerajaan, K. Somasumbran, 65, berkata, dia berharap mana-mana calon yang menang pada PRK itu dapat merancakkan lagi ekonomi di kawasan tersebut.

K. Somasumbran.

Katanya, perkara itu bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan bukan hanya kepada golongan muda India malah seluruh penduduk DUN Mahkota.

Ujarnya, peluang pekerjaan itu juga bagi memastikan generasi muda dapat terus kekal di DUN tersebut tanpa perlu berhijrah selain membantu meningkatkan taraf dan kualiti hidup keluarga masing-masing.

“Dalam masa sama, saya juga berharap calon yang menang pada PRK kali ini dapat membantu memudahkan laluan kepada generasi muda di sini untuk menyertai pekerjaan di sektor-sektor awam atau dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, S. Lolita, 24, turut berharap wakil rakyat baharu di DUN Mahkota kelak tidak meminggirkan nasib dan kebajikan masyarakat India di kawasan tersebut.

S. Lolita.

Katanya, masih banyak bantuan diperlukan oleh masyarakat India di kawasan itu untuk meningkatkan taraf hidup mereka sekali gus dapat menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan negeri bersama-sama dengan kaum lain.

“Masyarakat India di sini menaruh keyakinan dan kepercayaan penuh kepada calon BN untuk membantu seterusnya mengubah masa depan kami,” katanya.

Harapan sama turut dizahirkan seorang penuntut, N. Tharani, 22, yang berharap lebih banyak inisiatif yang diperlukan golongan muda dapat ditawarkan di DUN Mahkota pada masa depan.

N. Tharani.

“Antaranya dari segi kemudahan pendidikan dan sukan supaya generasi muda di sini mempunyai ruang serta peluang yang khusus untuk menyalurkan minat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast