Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

SAYA ahli Dewan Ulama (DU) Pas. Saya dukung dasar Kepimpinan Ulama sejak dicetuskan dalam Muktamar Pas pada 28 Oktober 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun selepas penggulungan Ketua Dewan Ulama (KDU) dalam Muktamar ke-70 di Kerdau, saya jadi terkejut. Tak sangka sampai sebegini keadaan DU, juga betapa jauhnya pemikiran dan ilmu KDU daripada pemahaman ilmu Islam.

Sebelum ini, saya hanya terngiang-ngiang di cuping telinga mendengar rakan-rakan yang menyebutkan kelemahan sangat ketara DU dan KDU – antaranya tentang tahap keilmuan KDU, wujud kem geng KDU dalam DU, ‘monopoli gerak kerja’, kelemahan aktiviti hinggalah kepada kegagalan baik pulih tandas KUIZM pun terpaksa minta sedekah dikendali NGO.

Ketika KDU mula diamanahkan sebagai KDU zaman negara masih dihimpit Covid-19, saya sudah teragak-agak menerima beliau sebagai amir dalam ulama, lebih-lebih pemilihan itu diselubungi ‘peranan Ketua Jawatankuasa Pemilihan – yang kemudian diturunkan’ Dr Ky sebagai pencorak perwakilan-perwakilan di seluruh negeri yang belum sempurna organisasinya, yang akhirnya beliau ‘diberi ghanimah’ oleh KDU sebagai Ketua Pengarah Pilihanraya DU (yang tiada sumbangan, malah ‘lari’ ketika dua muktamar DU takut disoal).

Itu hanya kecil. Tapi yang lebih besar adalah tentang keilmuan KDU sebagai ulama. Malu bagi Gerakan Islam dipimpin oleh seorang yang ‘level ilmunya bukan ulama’, bukan sekolah pondok, jauh sekali mampu menelaah kitab kuning, yang biasanya adalah ciri-ciri khas pemimpin ulama dalam PAS.

KDU didorong dan dicorak oleh pasukan ilmuan Dr Ky untuk bertanding atas tiket Pengerusi HESA Kedah, tanpa mengetahui KDU hanyalah lulusan Sekolah Menengah Bu’uth al-Azhar yang gagal untuk memasuki Universiti al-Azhar. Mujur Universiti Riau Indon menerima ijazah pertamanya. Ini semua tidak disedari Dr Ky selaku ‘mastermind’ yang akhirnya melumpuhkan organisasi DU, walaupun berjaya dalam agendanya.

Dalam ucapannya KDU menyatakan, “Dewan Ulama perhati dan tengok, selagi mana bukan perkara mungkar. Mungkar adalah perkara yang disepakati dosa, disepakati sebagai perbuatan yang ditegah. Selagi tak disepakati, Dewan Ulama tidaklah sampai peringkat pertahan, sekurang-kurang kita bagi penjelasan.”

Kenyataan tersebut untuk mempertahankan Menteri Besar Kedah setelah dinasihatkan oleh Perwakilan Perlis dalam perbahasan semalam. Saya terkejut kerana KDU sekurang-kurangnya ambillah sikap menerima nasihat itu, sebaliknya bingkas berdiri mempertahankan rakan ‘yang berkawan lama, sentiasa berusaha menyantuni rakyat, bersedia diajak bergambar, selfie, kabaddi, mahupun berlagu bayati dalam Malam Perasmian Festival al-Quran. Sudah lupa gamaknya KDU dengan hadis ke-7 Matan Arbain, ‘Ad-din al-Nasihah.”

Kenapa KDU naif mendefinisikan mungkar sebagai suatu perkara yang wujud khilaf ulamak, iaitu ‘perkara yang disepakati dosa’. Kenapa mungkar dilihat oleh KDU daripada perspektif seolah-olah ‘ada ulama kata halal’? Baca sikit penegasan Ibn Nujaim dalam al-Kaba’ir wa al-Sagha’ir dari aspek definisi mungkar sebagai ‘segala yang dilarang oleh syariat atau segala yang menyalahi syariat.’

Adakah KDU jahil tentang konsep ‘al-Zari’ah’, iaitu wasilah atau jalan untuk mencapai menuju ke arah sesuatu, sama ada halal atau haram. Kenapa KDU, dalam isu rakannya MB Kedah memilih kaedah ‘Fath al-Zara’ie’, iaitu membuka pintu-pintu yang membawa kepada perkara yang haram.

Kenapa KDU tidak berpegang sebagaimana pegangan para ulama Islam dalam hal mungkar ini dengan kaedah ‘Sadd al-Zara’ie’ atau menutup jalan atau pintu-pintu yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan.

Menyanyi atau berkaraoke dengan wanita adalah pintu kepada perkara mungkar. Kenapa kita pula menjadi pemimpin uswah dalam perkara tergedik-gedik itu. Benda ini jauh dari budaya PAS. Tapi aktiviti yang songsang inilah dipertahankan oleh KDU. Malu!

KDU tak dengarkah hadis yang dibacakan oleh Tuan Guru Presiden semasa penggulungan tadi. Hadis itu patut menjadi pegangan ulama Pas tentang berhati-hati dengan perkara syubhat yang boleh membawa kepada haram (bukannya halam!). Malu dalam Pas ada ulama macam KDU yang tidak ‘takut terhadap syubhah bagi menyelamatkan agamanya.’

KDU minta fahami hadis dibacakan Ayah Chik yang menyatakan antaranya, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.”

Saya percaya kalaulah arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bernafas, sudah lama agenda MB Kedah akan ‘disembur’ dan ‘ditampar’ oleh bekas KDU dan Mursyidul Am itu. Bukankah arwah antara ulama Pas yang keras terhadap aurat wanita termasuklah tidak membenarkan muslimat menyertai musabaqah tilawah al-Quran suatu ketika dahulu? Baca al-Quran pun dilarang arwah, tapi KDU kini boleh ‘menghalalkan’ berkaraoke dengan wanita-wanita yang bukan mahram MB, di larut malam pula.

Tindakan MB itu selaku khalifah di sebuah negeri Gerakan Islam sangat memalukan. Tapi lebih memalukan sikap KDU yang mempertahankan tindakan tersebut. Ini bertentangan dengan akhlak pemimpin yang perlu menjaga ‘muru’ah’, terutama ketika berhadapan orang awam, dengan rakyat.

Kalaupun KDU lemah penguasaan dalam bahasa Arab, sekurang-kurangnya rujuklah terjemahan Risalah Ta’lim Hasan al-Banna, buku Jundullah Said Hawwa ataupun paling kurang buku-buku Manhaj Usrah PAS – Taarif, Takwin, Tanfiz, yang menyebutkan syarat-syarat penting sebagai seorang pemimpin Islam.

Kenapalah KDU sangat lemah dan bersifat polos tanpa ilmu tanpa mengetahui sifat menjaga ‘muru’ah’ bagi seorang kepimpinan Gerakan Islam. Hayatilah penegasan al-Mawardi dalam kitab politik Islam, al-Ahkam al-Sultaniyyah tentang syarat ‘al-muru’ah’ yang perlu ada pada seorang pemimpin, “Di antara syarat-syarat ‘al-muru’ah’ ialah kamu menjauhi yang dilarang, menjauhi maksiat, berlaku adil dalam hukuman, menjauhi kezaliman.”

Kita selalu ingat mengubah mungkar itu adalah melalui kuasa, lisan atau pun dengan hati, iaitu selemah-lemah iman. Namun, maaf kasar sikit nak sebut sikap KDU tentang mungkar ini seolah-olah tiada langsung ‘hati’.

Saya sudah hilang kepercayaan dengan KDU DU Pas Pusat. Teruslah berada di Kedah sebagai PJ, MP Pokok Sena, YDP Alor Setar, Muassasah Darul Ulum dan pelbagai jawatan lagi, letaklah jawatan KDU.

Saya pemerhati setia muktamar penuh yang diadakan di negeri jiran saya yang tamat jam 3.50 petang, 15 September 2024.

Zakaria Ahmad

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast