Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Keberadaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal dikesan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui pihaknya masih mengesan ahli perniagaan itu bagi membantu siasatan berhubung isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian.

“Beliau masih belum dapat dikesan sehingga kini untuk dibawa balik ke Malaysia bagi beberapa pertuduhan pecah amanah jenayah yang disediakan” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Pada 7 Ogos tahun lalu, SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Selain Muhammad Adlan, seorang lagi adalah peguam, Mansoor Saat, 70, dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here