Suspek warga asing bersama spesis hidupan liar yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia Selatan melalui ruang udara KLIA ditumpaskan semalam.Ihsan foto JKDNKA Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan  hidupan liar dari sebuah negara Asia Selatan ke negara ini semalam.

Seorang warga asing yang merupakan suspek disyaki menyeludup masuk hidupan liar bernilai RM1.8 juta menerusi ruang pintu masuk udara telah diberkas.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman,  Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sindiket itu telah dipatahkan menerusi operasi bersepadu Khazanah sekitar ibu negara pada 17 September lalu oleh Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas.

“Hasil tangkapan dan pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa pasukan kepada rampasan sebanyak 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyed Turtle,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek warga asing bersama spesis hidupan liar yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia Selatan melalui ruang udara KLIA ditumpaskan semalam.Ihsan foto JKDNKA Bukit Aman

Tambah Mohd Yusoff, berdasarkan maklumat dan risikan polis mendapati suspek membawa hidupan liar itu menggunakan laluan udara masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kes ini jarang berlaku dan tangkapan tersebut juga mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap yang mana harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000 manakala kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 seekor.

“Siasatan awal polis mendapati tangkapan ini juga dipercayai melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa dan hidupan liar terbabit dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit sebelum dipindahkan ke negara lain oleh sindiket tersebut,” ujarnya.

Suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 68 (1) dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Menurut Mohd Yusoff, secara keseluruhannya bagi tempoh antara 1 Januari hingga 17 September ini, pasukan WCB/PSK di JKDNKA Bukit Aman telah berjaya melancarkan sebanyak 135 serbuan di seluruh negara.

“Hasilnya serbuan itu telah membawa kepada tangkapan seramai 384 orang atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar dengan nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh itu dianggarkan berjumlah RM420,059,342.50 (RM420 juta). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here