Dua lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen membawa masuk warga asing melalui 'counter setting' direman hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua lagi pegawai penguat kuasa termasuk suspek utama ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Majistret Fairuz Syuhada Amran membenarkan suspek utama direman selama lima hari sehingga 23 September 2024, manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga 25 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi KLIA1 dan KLIA2.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada jam 3 pagi dan jam 5.40 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada ejen-ejen sindiket selain bertindak mengatur urusan laluan kaunter khas bagi melepaskan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di pintu masuk udara negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here