Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Israel berundur ke sempadan sebelum 1967.

Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, resolusi itu sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa.

Malah ia menyokong Ketetapan Penasihat ICJ pada 19 Julai lalu, yang mengesahkan larangan sejagat terhadap pemerolehan wilayah secara paksa.

“Walaupun ini merupakan langkah penting ke arah keadilan, IKIM mengesyorkan semua pihak untuk meneruskan tindakan berani bercakap benar kepada kuasa zalim tersebut, dan secara bijak melancarkan penentangan positif yang berasaskan ilmu terhadap tindakan zalim yang berterusan rejim Zionis.

“Sehubungan itu, IKIM menggesa masyarakat Islam antarabangsa bersama bangsa-bangsa lain yang prihatin untuk memastikan resolusi ini membawa kepada tindakan yang berkesan dan tidak menjadi simbolik semata-mata.

“Masyarakat dunia sebagai keturunan Bani Adam mesti kekal bersatu dalam memastikan Israel bertanggungjawab dan menguatkuasakan keputusan penting ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, IKIM juga memuji pendirian kukuh yang diambil oleh negara OIC, termasuklah Malaysia, dalam mengundi menyokong resolusi tersebut.

“Pendirian kukuh ini mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan untuk menangani kezaliman terhadap rakyat Palaestin.

“Aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara yang bertamadun mestilah termasuk membantu pihak yang memerlukan sokongan kita, walaupun di negara yang jauh.

“Sokongan itu jelas mengisyaratkan komitmen kita bersama untuk menegakkan keadilan dan membina dunia antarabangsa yang lebih tertib demi masa depan bersama umat manusia,” ujarnya.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here