Gambar hiasan

Oleh: Dr. Halimi Mohd Khalid

KESIBUKAN dan keghairahan melalui kehidupan dunia yang tidak bertunjangkan kepada rasa ketauhidan yang kukuh kepada Yang Maha Esa menyebabkan kehidupan manusia kian menderita. Meskipun dilimpahi dengan pelbagai bentuk kesenangan dan kemewahan namun ketiadaan hala tuju yang jelas menyebabkan manusia kian terkapai -kapai
kelemasan dalam arus kehidupan yang semakin mencabar dan kompleks. Arus pemikiran pasca modenisme yang membawa bersama-samanya budaya pemikiran relativisme
menjadikan fitrah asal kejadian manusia telah menyimpang dari matlamat asal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Nilai ketaatan dan rasa tawaduk seorang hamba kepada yang Maha Mencipta semakin sirna.

Relativisme adalah satu bentuk aliran pemikiran yang mengangkat logik akal dalam menentukan kebenaran. Relativisme merupakan salah satu aliran pemikiran yang menafikan dakwaan terhadap objektiviti dalam domain tertentu dan menegaskan bahawa penilaian dalam domain itu adalah relatif kepada perspektif seseorang pemerhati atau mengikut konteks yang mana ia dinilai. Oleh kerana itu tiada kebenaran yang benar-benar mutlak kerana piawaian yang digunakan untuk mengukur kebenaran itu adalah dengan berpandukan kepada pandangan dan pertimbangan akal semata-mata.

Aliran pemikiran berasaskan relativisme ini bermula pada sekitar abad ke-19 di Eropah berikutan timbul begitu banyak aliran pemikiran berkaitan politik, ekonomi, falsafah, kebudayaan dan kemasyarakatan. Fenomena ini menyebabkan beberapa orang ahli falsafah yang berpengaruh pada ketika itu mengatakan bahawasanya tidak ada satu pun fahaman yang mengandungi kebenaran secara mutlak. Setiap satu daripadanya mempunyai pelbagai kekurangan dan kelemahan yang tersendiri. Relativisme digunakan sebagai ‘senjata’ untuk melawan sistem pemerintahan dan ideologi yang bersifat absolutisme.

Golongan ini berpegang kepada pendirian yang berasaskan pandangan yang bersahaja asalkan ia dapat memenuhi cita-cita dan keinginan yang diimpikan. Mereka tidak mahu menerima kepercayaan dan pandangan hidup yang sukar untuk dilaksanakan walaupun pandangan tersebut mempunyai asas yang kukuh dan mengandungi kebenaran
termasuklah aspek etika, moral dan keagamaan.

Relativisme telah membenihkan rasa kekeliruan dan kecelaruan manusia dalam menentukan kebenaran. Asas ilmu menjadi rapuh. Manusia cenderung untuk berpegang
kepada kekuatan rasional akal untuk membuat keputusan yang berasaskan claim iaitu pengakuan individu berbanding berusaha mencari hujah yang tepat bagi menentukan
kebenaran. Akibatnya kebenaran akan ditutupi dengan kepalsuan. Manusia akan merasa lelah dan bosan kerana tenggelam dalam situasi yang tidak berpijak pada sandaran yang kukuh. Daya-gerak untuk mencari hujah semakin luntur. Maka manusia mula mencipta fakulti pemikiran masing masing apabila mendepani sesuatu isu dan membuat kenyataan mengikut selera dan kecenderungan masing-masing.

Akal merupakan anugerah teristimewa dari sang Pencipta kepada makhluk yang bergelar insan. Akal itu sifatnya diciptakan dan bukan menciptakan. Oleh sebab itu ia tertakluk kepada peraturan yang menciptakannya. Allah SWT menjadikan bersama-sama dengan akal itu pelbagai peranan dan fungsi. Antaranya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 190-191 yang bermaksud “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia.Maha suci Engkau. Peliharalah kami daripada azab neraka”.

Berdasarkan mafhum ayat dia atas dapat kita fahami bahawa terdapat dua tahap yang melibatkan fungsi akal. Pada peringkat pertama akal berperanan untuk merenung, memikir dan mengkaji tentang alam semesta. Seterusnya akal akan pergi ke peringkat kedua iaitu memikirkan siapa yang menciptakan alam semula jadi ini. Namun begitu, ilmplikasi dari tersebar luasnya ideologi sekularisme, maka boleh dikatakan majoriti peranan akal itu terhenti di peringkat yang pertama sahaja. Manusia berusaha keras untuk mengkaji alam semesta baik daratan, lautan mahupun angkasa lepas untuk memenuhi keperluan kehidupan manusia namun usaha yang dilakukan dan ilmu pengetahuan yang diperolehi tidak sama sekali dikaitkan dengan aspek ketuhanan.

Memahami maksud yang tercatat dalam surah ar-rum ayat 41 iaitu “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” membuatkan kita menyedari akal yang dibiarkan berfikir melampaui hadnya dan beroperasi sendirian tanpa dibimbing oleh panduan agama akan menjadi akal yang menuruti hawa nafsu dan boleh membawa manusia kepada kehancuran dan kebinasaan.

Mengembalikan peranan akal kepada fitrah asal kejadiannya adalah antara perkara yang mampu mengembalikan keharmonian dalam ekosistem kehidupan manusia baik dari segi jasmani, emosi, rohani mahupun daya keintelektualan. Kegagalan manusia berasimilasi dengan kehidupan yang bertunjangkan tauhid menjadikan manusia seringkali tewas dalam menguruskan kehidupan sama ada ketika berhadapan ujian mahupun dugaan yang datang silih berganti. Menyedari hakikat ini maka aliran pemikiran relativisme yang semakin kuat mencengkam pemikiran manusia pada masa kini perlu dicairkan sedikit demi sedikit dengan kaedah membina daya pemikiran yang mempunyai elemen kesimbangan. Nilai-nilai agama dan rasa bertuhan perlu disuburkan dalam melaksanakan kefungsian akal agar ia selari dengan tuntutan yang telah digariskan oleh yang Maha Menciptakan.

 

Penulis dari Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast