Gambar hiasan.

KUANTAN – Gara-gara takut apabila diugut dengan waran tangkap seorang guru di Raub dekat sini rugi RM527,7333 daripada hasil wang simpanannya termasuk  barang kemas dan pinjaman peribadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa diperdaya oleh sindiket yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysa (MCMC) dan pihak polis sejak 5 Ogos lalu.

“Mangsa seorang wanita berumur 51 tahun telah menerima panggilan telefon daripada MCMC dan menyatakan terdapat aduan terhadap nombor telefon mangsa.

“Panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Yahaya, suspek telah mengatakan mangsa mempunyai barangan yang menyalahi undang-undang dan terlibat dengan pengubahan wang haram di mana mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Mangsa juga telah diarahkan untuk membuka akaun bank baharu bersama kad ATM selain perlu memberikan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

“Dalam tempoh bermula 9 Ogos hingga 13 September 2024 mangsa telah diminta memindahkan semua wang simpanan dan hasil jualan barang kemas ke akaun bank tersebut bagi tujuan siasatan.

“Kemudian mangsa juga telah diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM 250,000 daripada sebuah bank dan memasukkannya ke dalam akaun bank tersebut,” katanya.

Suspek telah meminta mangsa meletakkan kad ATM tersebut di lokasi yang diberikan oleh suspek.

Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here