Gambar hiasan

SIAPA sangka, badan amal yang selama ini menjadi kepercayaan sebagai tempat perlindungan, merupakan neraka dunia bagi 402 kanak-kanak dan remaja yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi termasuklah pengabaian dan penganiyaan.

Sidang media yang diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 11 September 2024 lalu bukan sahaja mengejutkan, malah membuka mata masyarakat tempatan untuk lebih berhati-hati dengan organisasi-organisasi yang berselindung di sebalik jenama ‘amal’.

Bermula dengan pendedahan daripada laman sosial media terutamanya dari Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS), juga Scam No One yang berterusan membongkar penipuan, akhirnya berjaya menarik perhatian para netizen untuk sama-sama cakna dan membongkar aktiviti yang tidak berperikemanusiaan ini.

Kelantangan suara dari akaun-akaun media sosial ini dalam mengemukakan bukti-bukti berkaitan, termasuklah gambar-gambar dan video, dibantu juga oleh para netizen yang sama-sama berkongsinya di laman sosial masing-masing nyata telah berjaya memudahkan dan menggerakkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Malah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong juga telah bertitah dengan tegas agar siasatan segera dan menyeluruh berkenaan hal ini diambil bagi mengekangnya daripada terus mencemar kesucian agama Islam.

Besarnya kuasa media jika dilihat dengan teliti. Dengan media jika tidak berhati-hati akan kandungan yang disebarkan, pasti akan membawa kekeliruan dan salah faham yang bisa menggugat keharmonian dan kesucian agama Islam.

Lebih-lebih lagi jika masyarakat terlalu taksub dengan penampilan luaran yang dilihat bersih dan suci di samping kata-kata yang manis.

Akan tetapi, bagi mereka yang bijak, cakna dan berliterasi media, pasti akan dapat mengenal pasti ketidak tepatan maklumat-maklumat yang mengelirukan sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dengan kancah penipuan yang bertopengkan badan amal terutamanya melibatkan “OP Global” ini.

Selain media sosial yang bergerak sebagai pemangkin dalam membongkar serta mencegah kes penganiayaan ini, televisyen dan juga radio juga berperanan besar dengan bertindak cepat dan tepat bagi sama-sama menyebarkan maklumat berkaitan salah operasi badan amal yang terbukti mempunyai banyak cawangan pelbagai jenis perniagaan di dalam dan luar negara ini.

Jika tidak dikekang dengan maklumat yang betul, dikhuatiri isu penganiayaan ini tidak dapat dibendung dan disekat disebabkan kekurangan pendedahan mengenai salah laku di tersebut.

Malah, akhbar-akbar bercetak dan elektronik juga tidak boleh ketinggalan sebagai aset penyebaran informasi di saat teknologi internet begitu pantas dalam mengemaskini berita-berita semasa supaya masyarakat sentiasa peka dengan maklumat-maklumat dan berita-berita yang mampu menyelamatkan akidah dan kepercayaan masing-masing.

Justeru, semua pihak perlu berani dalam menggunakan media sebagai ejen penyebaran dan pencegahan kerana dengan media masyarakat terbina, dengan media juga masyarakat mampu musnah.

Dr. Siti Aishah Mohammad Razi
Pensyarah
Jabatan Komunikasi,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast