Azmin ketika bertemu media selepas program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Ahli Parlimen pembangkang akan menjadi seperti pengemis sekiranya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada mereka.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali berkata, pembangkang juga tidak akan dapat bersuara untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kerana terikat dengan syarat-syarat dalam MoU tersebut.

“Lihat MoU yang ditawarkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, apakah kami pengemis, peminta sedekah, apakah kami ini nak dilayan dan dikekang suara kami dalam Parlimen.

“Sedangkan yang memilih kami adalah rakyat di bawah sana menerusi sistem demokrasi yang cukup telus dan terbuka.

“Kita menang besar dalam PRU (pilihan raya umum) lepas, kita bersuara dalam Parlimen demi rakyat dan negara.

“Hari ini suara kita nak dibungkam dan nak disekat oleh Madanon dan kerajaan di Putrajaya. Di mana politik yang subur, di mana demokrasi yang subur dalam negara hari ini,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Ahad lalu, PN membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan itu dilakukan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa dan mengokong kebebasan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan kerajaan terbuka sekiranya MoU mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding semula.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang mendakwa, agensi dan jabatan kerajaan digunakan untuk mengaib dan menghina pembangkang.

“Sampai bila kita harus berdiam diri, sebab itu hari ini rakyat sudah meluat dengan kerajaan di Putrajaya. Alhamdulilah bukan sahaja orang Melayu tapi saya berani katakan orang-orang Cina  sudah mula sedar, ini kerajaan di Putrajaya adalah kerajaan pembohong dan tipu rakyat selama dua tahun.

“Rakyat (masyarakat Cina) sudah mula bangkit untuk menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, insyaAllah,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here