Dr Zambry Abdul Kadir

PAGOH- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggesa pensyarah tidak mengeluarkan kenyataan di luar bidang kepakaran bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kementerian tidak menyekat “kebebasan akademik” dalam kalangan pensyarah namun setiap kenyataan dikeluarkan harus bersandarkan kepakaran masing-masing.

“Tetapi yang menjadi masalah kepada masyarakat apabila seorang bergelar profesor, doktor, profesor madya dan sebagainya berbicara di luar bidang kepakaran dan sering kali menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“… dan sebab itu saya harap supaya para pensyarah kita memberikan tumpuan kepada kepakaran (masing-masing),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan sambutan Bulan Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di sini hari ini.

Awal September lalu, Persatuan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataan di Facebook persatuan berkenaan mengingatkan ahlinya bercakap dalam bidang kepakaran masing-masing terutamanya dalam perbahasan awam bagi menjaga integriti universiti itu.

Peringatan itu susulan kecaman netizen terhadap seorang pensyarah universiti berkenaan yang mengaitkan isteri Rasulullah, Khadijah, dengan alam Melayu dalam ceramahnya.

Sementara itu, Zambry berkata beliau telah berbincang dengan naib canselor universiti awam dan universiti swasta di negara ini berhubung penambahbaikan kerangka pengajian tinggi.

Beliau berkata penambahbaikan berkenaan selaras perkembangan dunia, khususnya dalam bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) serta keperluan tenaga kerja.

“(Perkembangan ini) memerlukan pendekatan baharu dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Pada Mac lalu, Zambry dilaporkan berkata kerangka pendidikan tinggi negara perlu diubah mengikut kehendak semasa seiring perubahan landskap pendidikan dunia.

Beliau berkata kementerian juga amat menggalakkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti untuk menjalin kerjasama dan persefahaman dengan institusi pendidikan tinggi serta pemain industri di luar negara sejajar dasar dan strategi pengantarabangsaan yang dibangunkan KPT.

– BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here