KUALA LUMPUR – Bilangan pertubuhan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkembang daripada 907,065 kepada 1,069,831, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 2.4 peratus.

Sektor perkhidmatan mendahului dengan 936,793 pertubuhan (87.6%), diikuti oleh pembinaan 69,015 (6.5%) dan pembuatan 51,481 (4.8%).

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai output kasar meningkat daripada RM1.0 trilion pada tahun 2015 kepada RM1.3 trilion pada 2022, dengan CAGR sebanyak 3.3 peritus disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam nilai ditambah yang meningkat daripada RM422.7 bilion kepada RM578.8 bilion, dengan CAGR sebanyak 4.6 peratus.

Dalam konteks pasaran buruh, gaji dan upah mengalami aliran peningkatan yang ketara, naik daripada RM128.5 bilion pada 2015 kepada RM182.3 billion pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.1 peratus.

Meskipun begitu, peratus penyertaan pekerja meningkat pada kadar yang agak perlahan, iaitu hanya 1.8 peratus, beralih daripada 5.8 juta pada 2015 kepada 6.5 juta orang pada 2022.

Sementara itu, nilai aset tetap merentas ekonomi menunjukkan pertumbuhan yang sederhana, meningkat daripada RM584.0 bilion pada 2015 kepada RM668.2 bilion pada 2022, dengan CAGR sebanyak 1.9 peratus.

Di peringkat negeri, Selangor merekodkan pertumbuhan nilai ditambah yang mengagumkan, berkembang pada CAGR sebanyak 8.2 peratus, daripada RM119.8 bilion pada 2015 kepada RM208.0 bilion pada 2022, memperkukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada PMKS di Malaysia.

Kuala Lumpur menyaksikan pertumbuhan tahunan yang stabil sebanyak 2.3 peratus (RM113.2 bilion), manakala Johor mencatat corak pertumbuhan yang memberangsangkan pada 4.0 peratus (RM58.7 bilion), menunjukkan sumbangan ketara ketiga-tiga negeri ini secara berterusan kepada prestasi ekonomi serantau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here