Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

 

KLUANG – Barisan Nasional (BN) tetap beranggapan mereka merupakan `underdog’ (bukan pilihan) meskipun banyak pihak meramalkan parti itu mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Sehubungan itu, Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jentera BN dan UMNO akan terus berusaha lebih gigih untuk memastikan dapat menyantuni kesemua pengundi di DUN tersebut.

Dalam masa sama, beliau beranggapan masih terlalu awal untuk mengukur tahap sebenar sokongan pengundi DUN Mahkota memandangkan tempoh berkempen baru memasuki hari keenam  hari ini.

“Seperti yang saya laporkan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kita anggap diri (BN) `underdog’ dan akan berusaha lebih gigih untuk santuni setiap lebih 66,000 pengundi DUN Mahkota, jadi (sekarang) masih terlalu awal, sebab ada banyak lagi kerja di peringkat jentera parti untuk memastikan kemenangan BN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam sesi bertemu pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Mahkota, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) diiring oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) hadir selepas melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

Sebelum ini, banyak pihak meramalkan BN mempunyai peluang lebih besar untuk mengekalkan kerusi DUN Mahkota berikutan kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO selain turut dibantu pengundi Pakatan Harapan (PH) memandangkan BN kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, BN mempertaruhkan Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon yang akan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, dalam pertembungan satu lawan satu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here