Muhammad Hafiz Anuar dikawal oleh anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Seorang sarjan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM1,500 dan membebaskan dua individu daripada kes ketum.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Anuar, 34, membuat pengakuan itu  di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz  didakwa melakukan perbuatan itu pada 17 Februari tahun lalu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang.

Tindakannya itu sebagai dorongan bagi melepaskan Mohd Zaliyar Ramli dan anaknya Muhammad Zamarul Mohd Zaliyar yang disyaki memiliki air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Sesyen 30(3) Akta Racun 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegawahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguambela Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan passport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan tarikh serahan dokumen pada 23 Oktober 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast