Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas didapati bersalah menumbuk muka adiknya berpunca daripada tindakannya kentut di dalam kereta minggu lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ridzuan Samsudin, 37, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja mendatangkan cedera dengan cara memukul dan menumbuk hidung serta mulut adik kandungnya, Nurul Hanis Samsudin, 32.

Kesalahan itu dilakukan semasa berada di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta di kawasan parkir pasar raya Lotus di Jalan Peringgit dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11 pagi 11 September lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut sumber, pertengkaran antara tertuduh dan adiknya itu berpunca apabila tertuduh kentut di dalam kereta dan ketawa sebelum mangsa menegur perbuatan tertuduh dan mengungkit kisah silamnya.

Tertuduh yang berang kemudian bertindak memaki hamun adiknya itu dan beberapa kali menumbuknya di bahagian hidung dan mulut menyebabkan mulut wanita itu berdarah serta bengkak.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan hasil rawatan di Hospital Melaka doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu pada mulut, pipi kanan,dan dahi kiri.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang mendatangkan kecederaan terhadap adik kandungnya itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel sendiri selain menanggung isteri dan enam orang anak.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap pada 14 September lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here