Situasi terkini air pasang surut di Kampung Baru Lembah Pantai, Tanjong Karang, Selangor

KUALA SELANGOR – Pantai di Selangor terutama di daerah Tanjong Karang diramalkan  mengalami limpahan air yang mencecah ketinggian sehingga 5.6 meter pada sekitar jam 7 pagi esok susulan fenomena air laut pasang besar.

Ketua Bomba Zon 7, Kuala Selangor dan Sabak Bernam Samsol Maarif Saibani berkata, ramalan itu berdasarkan pemantauan bomba dan juga maklumat daripada pejabat daerah di kawasan terbabit.

“Tinjauan air di dalam kampung ini sekitar 0.6 meter, tetapi paras air di luar sana sehingga 5.8 meter dan ia dapat melepasi ban pada waktu puncak, ditambah pula ombak  kuat sekali gus menyebabkan air melimpah melepasi ban dan mengalami banjir.

“Lazimnya mengikut jadual air pasang surut, paras air akan naik pada jam 5 pagi dan pada waktu puncak sekitar jam 7.30 pagi dan ini menyebabkan penduduk masih lagi ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, seramai 101 mangsa daripada 36 buah keluarga di Kampung Baru Lembah Pantai masih ditempatkan di PPS Institut Pengurusan Peladang sebelum dibenarkan pulang pada Ahad ini. 

Ketua Bomba Zon 7, Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam Samsol Maarif Saibani yang ditemui MalaysiaGazette hari ini

“Mereka ditempatkan di sini kerana limpahan air laut yang telah memasuki kampung mereka sejak 18 September lalu, namun fenomena dijadualkan berakhir pada Sabtu ini.

“Kawasan penduduk yang terlibat melebihi daripada 200 buah rumah tetapi rumah yang  terjejas teruk dinaiki air membabitkan 36 buah rumah sahaja.

“Kesemua mangsa yang dipindahkan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat APM serta pejabat daerah,” jelasnya.

Tambah Samsol lagi, pihak bomba kini melakukan pemantauan di perkampungan Bagan Pasir, Jeti Bagan Pasir, Perkampungan Nelayan Kampung Sungai Kajang. 

Selain itu, Jeti Sungai Kajang,Jalan Tanjung Karang dan Kampung Baru Lembah Pantai Tanjung Karang.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua penduduk di sekitar kawasan berhampiran pantai agar bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan, menyimpan barang penting di tempat yang selamat dan segera berpindah jika mendapat arahan.– MalaysiaGazette 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here