Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

KLUANG – Meskipun masih lagi digantung keahlian dalam UMNO, namun bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tetap menunjukkan kesetiaan kepada parti itu apabila turut bersama-sama membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Malah, menurut Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, beliau sendiri turut mengiringi calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah pada hari penamaan calon Sabtu lalu dan akan terus berkempen sehingga tamat PRK.

Selain itu, katanya, beliau juga mengetuai lebih 50 ahli UMNO Bahagian Pasir Salak khususnya jentera Wanita untuk berkempen dari rumah ke rumah bersama-sama jentera tempatan bagi memastikan kemenangan calon BN pada 28 September ini.

Menurut Tajuddin, keputusannya untuk turut sama berkempen pada PRK DUN Mahkota bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan beliau masih lagi ahli UMNO, bukannya dipecat daripada parti itu.

“Cumanya apabila digantung keahlian saya tidak boleh bertanding, tidak boleh pegang jawatan dalam parti, itu sahaja.

“Bagi saya apa yang penting saya masih ahli UMNO dan tidak menyertai mana-mana parti lain selepas digantung, jadi sudah tentu saya sayangkan UMNO dan mahu UMNO kembali menjadi gagah dan kuat seperti dulu…itu harapan saya. Itu jugalah sebabnya saya turun bantu kempen di sini,” katanya.

Beliau ditemui MalaysiaGazette ketika turut menyertai program Malam Kluang Berselawat bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Kampung Tengah, di sini, malam tadi.

Lebih 1,000 penduduk tempatan menghadiri program yang dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul itu yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Bulan lalu, Tajuddin turut mencuri perhatian apabila dilihat menghadiri PAU 2024 yang mana beliau dilaporkan bertemu Ahmad Zahid dipercayai berkait dengan permohonan supaya penggantungannya sebagai ahli UMNO ditarik balik.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana mengkritik parti dan telah empat kali mengemukakan rayuan, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti.

Sementara itu, menjelaskan mengenai status rayuannya, Tajuddin bagaimanapun berkata, sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan terbaharu yang diputuskan pucuk pimpinan UMNO berhubung perkara tersebut.

“Seperti yang dinyatakan Presiden UMNO, keahlian saya akan dibawa dalam mesyuarat MKT, tetapi sehingga kini iaitu selepas Perhimpunan Agung UMNO lalu, MKT masih belum bermesyuarat, jadi kita tunggulah…mungkin selepas PKR DUN Mahkota ini akan ada mesyuarat,” katanya.

Ditanya berkenaan peluang penggantungan keahliannya ditarik balik, Tajuddin berkata, beliau sentiasa bersikap positif apatah lagi Ahmad Zahid memaklumkan akan membawa sendiri perkara itu dalam Mesyuarat MKT UMNO akan datang. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here