Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama calon BN pada PRK DUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah.

KLUANG – Kira-kira 50 ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, akan digerakkan ke Alor Setar, Kedah malam ini, untuk membantu mangsa-mangsa banjir di daerah tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pasukan itu akan turut membawa barangan kebersihan diri dan makanan ringan bernilai kira-kira RM20,000 untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat penempatan sementara (PPS).

Selain itu, jelas beliau, pasukan itu juga akan membawa pelbagai peralatan pembersihan untuk membantu membersihkan rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.

Sambil melahirkan rasa simpati terhadap mangsa bencana itu, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO membuat keputusan untuk meneruskan tradisi turun padang membantu mangsa-mangsa bencana alam meskipun dalam kesibukan kempen pada PRK DUN Mahkota.

“Kita mengambil tanggungjawab untuk membantu tidak kira siapa pun yang terkesan akibat bencana ini seperti mana yang kita lakukan di Kelantan, Pulau Pinang, malah di Johor sebelum ini.

“Walaupun kita sibuk di sini, kita tidak boleh tinggalkan sahabat-sahabat kita di Alor Setar sebab bencana banjir kali ini turut melibatkan enam bahagian Pemuda UMNO.

“Jadi malam ini, seramai 50 ahli Pemuda UMNO di sini dengan dibantu Skuad Sabil serta jentera yang sudah sedia ada di Alor Setar akan berada seharian esok membantu mangsa banjir di sana, sebelum pulang semula menyambung kerja-kerja kempen di sini, pagi Isnin nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam program Pertandingan Memancing Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.

Sementara itu, ditanya berkenaan kontroversi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan berada di luar negara ketika negeri itu dilanda banjir, Muhamad Akmal bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas panjang.

“Tak mengapalah, pendekatan saya tidak mahu menyentuh atau bercakap pasal orang lain, tetapi saya mahu buat apa yang termampu dilakukan.

“Dalam hal ini, terpulang kepada masing-masing, sama ada beliau (Sanusi) mahu pulang atau tidak, biarlah rakyat yang menilai,” katanya.

Setakat petang semalam, seramai 3,904 mangsa melibatkan 1,158 keluarga terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Kedah dan ditempatkan di sebanyak 29 PPS.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan keberadaan Sanusi di luar negara ketika negeri itu dilanda banjir besar, namun Pejabat Menteri Besar Kedah memaklumkan Muhammad Sanusi berada di Jepun atas urusan rasmi untuk mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah di wilayah Kumamoto City. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast