Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 31 ahli termasuk 17 individu berjawatan dalam Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang ditahan polis 18 September lalu direman selama tujuh hari.

Mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (sempadan Malaysia-Thailand).

Ketua Polis Negra, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek direman mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tambahnya, ini menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini adalah seramai 200 orang sejak operasi dinamakan Op Global dimulakan 11 September lalu.

“Seramai 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman manakala 23 orang lagi telah diberi jaminan polis atas sebab-sebab tertentu.

“Sehingga kini, 37 kertas siasatan telah dibuka termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Ia termasuk satu kes di Sungai Kapar, Selangor di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007.

Daripada jumlah itu, lapan kertas siasatan dengan tujuh orang suspek berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razarudin lagi, kesemua mangsa berusia 18 tahun ke atas diserahkan kepada waris manakala mereka di bawah 18 tahun ke bawah diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau sekali lagi menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

Ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan secara menyeluruh.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here