Rahmad (baju hitam) menyertai serbuan Op Global yang berjaya merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu di Melaka hari ini.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu dalam serbuan ke atas 19 premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan bermula seawai 5 pagi dan berakhir 5 petang tadi melibatkan 10 buah premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (8) dan sebuah premis di Jasin.

Menurutnya dalam Op Global itu, serbuan melibatkan tiga buah rumah persendirian, dua buah rumah kebajikan dan 14 buah premis perniagaan di seluruh Melaka yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

“Buku-buku berkaitan Al-Arqam dirampas yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuklah Aurad Muhammadiyah, satu keping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan ajaran Al-Arqam, serban Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam.

“Turut disita tujuh telefon bimbit, komputer riba, dua set komputer, satu cakera keras luaran dan 87 lain-lain barangan menjadikan keseluruhannya 285 barang kes,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Op Global yang berjaya merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu di Melaka hari ini.

Tindakan diambil mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Kesemua orang yang disyaki (OYDS) juga ditahan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut manakala kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dibawa ke rumah jagaan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Semua masyarakat Islam khususnya yang menetap di Melaka diingatkan agar menjauhi ajaran sesat Al-Arqam atau ajaran seumpamanya yang telah diwartakan sesat di negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette hari ini melaporkan Polis Melaka menahan 45 individu termasuk 34 kanak-kanak dalam serbuan di beberapa premis dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB di semua daerah negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast