Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama-sama sebahagian penduduk yang menerima geran hak milik tanah sendiri dalam majlis di Balai Raya Kampung Bentong Luar, Kluang, Johor hari ini.

KLUANG – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penduduk Taman Idaman di sini, selepas akhirnya menerima geran hak milik tanah masing-masing yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini.

Pemberian itu menamatkan penantian seramai 164 penduduk dengan ada daripadanya sudah mendiami taman perumahan tesebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Sapiah Mohd. Yusuf, 78, berkata, dia sangat bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat memiliki geran hak milik tanah sendiri selepas tinggal di taman tersebut sejak 21 tahun lalu.

SAPIAH Mohd. Yusuf menunjukkan geran hak milik tanah yang diterimanya dalam majlis penyerahan di Balai Raya Kampung Bentong Luar Kluang, Johor, hari ini.

Pesara guru itu berkata, rumah tersebut meninggalkan banyak kenangan buatnya sekeluarga dan kini menjadi tempat berteduh bersama-sama anak dan menantu serta seorang cucu selepas kematian suaminya.

“Sudah lama saya memohon untuk mendapatkan geran hak milik tanah ini dan sangat bersyukur kerana akhirnya impian itu tercapai hari ini.

“Saya berpesan kepada anak-anak supaya menjadikan rumah ini sebagai harta pusaka keluarga dan jangan sesekali dijual,” katanya.

Sapiah merupakan sebahagian daripada 164 penduduk Taman Idaman yang menerima geran hak milik tanah masing-masing yang disampaikan Onn Hafiz dalam majlis yang berlangsung di Balai Raya Kampung Bentong Luar, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nastami Dimin, 73, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menunaikan hasrat penduduk taman itu yang sudah lama memohon untuk mendapatkan geran hak milik tanah rumah mereka.

Nastami Dimin.

Tambah Nastami yang juga pesara kerajaan itu, dia membeli dan mula mendiami rumah di Taman Idaman tersebut sejak 2007 dan menyifatkan lokasinya sangat strategik kerana terletak berdekatan dengan pusat bandar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri mula menerima permohonan daripada penduduk taman berkenaan untuk mendapatkan geran rumah mereka pada 2003.

Jelas beliau, Taman Idaman seluas kira-kira sembilam hektar itu berstatus tanah rizab Melayu dan dibangunkan melalui projek penswastaan sebagaimana perjanjian dengan Kerajaan Negeri Johor pada Oktober 1994.

“Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju mengurniakan tanah tersebut kepada pihak pemohon pada 27 Mac 2023 mengikut plot yang dibangunkan oleh sebuah syarikat untuk tujuan perumahan dan perdagangan.

“Isu yang dihadapi oleh pembeli adalah mereka tidak menerima hakmilik walaupun telah menduduki rumah tersebut dan telah menjelaskan bayaran premium tanah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast