Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR- Seorang pemilik akaun Facebook bernama Peter Lau dipanggil polis semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat komen menghina Islam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung penularan komen yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) dibuat oleh lelaki berkenaan sejak Rabu lepas.

“Pemilik akaun Facebook tersebut dikenal pasti dan sudah dipanggil ke balai polis semalam untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyentuh isu 3R (agama, raja, kaum).

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanyan, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Tambah beliau, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya menyentuh sebarang isu sensitiviti melibatkan perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang permasalahan boleh berhubung dengan balai polis berhampiran,” ujarnya.

Rabu lalu, satu tangkap layar telah tular yang memaparkan komen bertulis berbaur menghina agama Islam oleh seorang pemilik akaun Facebook bernama Lau Peter Lau di media sosial.-MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here