Serbuan dilakukan di Taman Krubong Perdana, Melaka

ALOR GAJAH – Seramai 21 lagi individu termasuk 15 kanak-kanak ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Op Global petang tadi.

Dalam serbuan sekitar pukul 2 hingga 3 petang tadi, kesemua mereka ditahan dalam tiga premis berbeza termasuk dua rumah dipercayai milik ahli GISB di Taman Ayer Molek Perdana, Masjid Tanah di sini.

Difahamkan, serbuan di dua rumah terbabit berjaya menahan empat individu iaitu tiga wanita dan seorang lelaki.

Turut berjaya diselamatkan adalah 15 kanak-kanak iaitu sembilan lelaki dan enam perempuan.

Serbuan di sebuah limbungan kapal di Kampung Nelayan Kuala Linggi turut membawa penahahan dua lagi lelaki untuk membantu siasatan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dalam serbuan bermula pukul 7 pagi tadi di semua tiga daerah, polis turut menahan 24 individu.

Ia termasuk 19 kanak-kanak yang diselamatkan di sebuah kediaman dipercayai milik salah seorang ahli kumpulan GISB di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Turut ditahan dua lelaki dan tiga wanita selain polis turut menyerbu rumah amal pertubuhan, restoran, kedai langsir, pasar mini, kedai bakeri dan sebuah kilang memproses kuetiau di Serkam dan sebuah pejabat pengurusan.

Kebanyakan premis yang diserbu bagaimanapun telah dikosongkan termasuk dua buah banglo yang dijadikan rumah amal pertubuhan itu di Krubong, Melaka Tengah.

Operasi diketuai Polis Kontinjen Melaka itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here