Sebuah kilang kitar semula di Sungai Petani didenda RM20,000 oleh mahkamah hari ini.

SUNGAI PETANI – Sebuah kilang kitar semula kertas di sini didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 2 selepas didapati gagal mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata, hukuman itu diputuskan Hakim Azman Abu Hassan selepas syarikat terbabit yang diwakili peguam itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

“Kilang berkenaan didapati telah membina loji kitar semula untuk kotak kertas terpakai tanpa mendapatkan kelulusan EIA, melanggar Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 34A(8) yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Ketika prosiding, peguam merayu agar hukuman diringankan dengan alasan syarikat telah mengambil tindakan pembetulan dengan menghantar laporan EIA yang kemudiannya diluluskan JAS Kedah pada 13 Disember 2023.

“Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JAS Kedah memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih peka terhadap keperluan undang-undang demi mengelak pencemaran alam sekitar dan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,” katanya hari ini.

Justeru, Sharifah Zakiah mengingatkan semua industri supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengelakkan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here