Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail

TAIPING – Polis mengesahkan gambar tular yang mendakwa seorang pekerja di salah sebuah stesen minyak di sini, diragut dan ditembak pada 20 September lalu bukanlah situasi sebenar.

Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, sebaliknya ia merupakan gambar pekerja berkenaan pengsan dan terjatuh disebabkan masalah kesihatan.

“Pada 20 September pihak polis mengesan gambar seorang pekerja pam minyak dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah dengan tulisan ‘tukang pump minyak pon kena tembak mati lepas kena ragut’.

“Berikutan penularan gambar tersebut pihak polis telah jalankan siasatan dan mendapati pekerja tersebut merupakan wanita yang bekerja di stesen minyak di Batu 2 1/2 Simpang, Taiping.

“Pekerja wanita itu telah pengsan dan jatuh akibat masalah kesihatan sehingga kepala beliau terhentak ke lantai dan mengalami kecederaan di kepala hingga berdarah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohamad Nasir, pekerja wanita tersebut telah dibawa ke hospital pada hari sama bagi menerima rawatan lanjut.

Beliau turut menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam serta mengugat keharmonian masyarakat.

“Sebarang penyebaran maklumat tidak benar dan palsu adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here