Kredit : JHEAT

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 13 ekor kuda di sebuah pusat latihan berkuda yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kampung Mengabang Panjang, di Kuala Nerus yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam didapati dicop dengan logo GISBH.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Aizi Saidi Abdul Aziz berkata ada antara cop logo berkenaan dilihat di bahagian atas kaki hadapan kuda dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak polis.

Pusat latihan berkuda itu terletak di hadapan sebuah banglo mewah berpagar tembok di tepi pantai dan dipercayai disewa pengikut GISBH.

“Hari ini, saya pergi lagi ke sana tapi sudah tidak boleh masuk sebab telah berkunci kerana difahamkan tempat itu mereka sewa. Kuda tersebut juga tiada lagi di situ. Tiada maklumat setakat ini siapa yang membawanya keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Aizi Saidi berkata beliau juga dimaklumkan mengenai satu nota tulisan tangan pada bahagian dinding pusat latihan kuda itu yang menyebut mengenai pembalasan di akhirat susulan tindakan pihak berkuasa terhadap mereka.

“Pada pandangan saya, pesanan itu menunjukkan rasa marah mereka terhadap apa yang berlaku sekarang. Mereka menganggap kita musuh dan mengacau aktiviti mereka, sedangkan kita nak cari penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa buah premis membabitkan kumpulan itu antaranya di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

“Sebelum ini ada beberapa serbuan oleh pihak berkuasa antaranya membabitkan sebuah asrama di Kuala Terengganu. Tapi kita masih tiada maklumat sama ada asrama itu adalah rumah amal yang dihuni anak-anak pengikut GISBH atau tidak. Ketika serbuan asrama itu juga kosong.

“Laporan yang kita ada setakat ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) esok,” katanya.

Terdahulu, Mufti Terengganu Datuk Mohamad Sabri Harun berkata Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH sebagai sesat sekiranya terdapat bukti jelas. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here