Khairul Amri Ahmad

KUANTAN – Sebuah taska di Indera Mahkota 7 di sini yang dipercayai melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad mengesahkan lokasi Taska Indera Gemilang di sini merupakan premis yang terbabit dengan kes berkenaan.

Beliau juga mendakwa taska berkenaan begitu berani meneruskan operasi semula tanpa kebenaran setelah dilak (sita) pada 6 Februari lalu.

”Taska ini telah dilak pada 6 Februari 2024 berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 kerana tidak berdaftar.

”Pada 27 Februari 2024, JKM mendapat aduan taksa ini beroperasi semula tanpa kebenaran, JKM telah membuat pemantauan dan memasang semula lak serta memberi amaran kepada pemilik supaya tidak melanggar arahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu kematian seorang bayi, Muhammad Zahin Zulqarnain Muhammad di taska dekat Indera Mahkota 7 pada 31 Januari lalu dan didakwa oleh ibu mangsa, Nur Zafirah Abd Halim yang kes itu seolah-olah tiada pembelaan.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan ibu mangsa berharap keadilan sewajarnya berpihak kepada Allahyarham Muhammad Zahin kerana pengurusan taska ’membisu’ dan enggan bertanggungjawab sehingga kini selain tiada laporan perkembangan penyiasatan kes berkenaan.

Menurut Kharul Amri, kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pengkompaunan kepada taska berkenaan di bawah Seksyen 21A Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Tambahnya, segala tindakan adalah mengikut Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak dan Perintah Penutupan ke atas taska serta pusat jagaan yang dalam siasatan polis berkuat kuasa pada 10 April 2023.

”Ia bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes yang melibatkan taska dan pusat jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

”Timbalan Pendakwa Raya (TPR) tidak bersetuju untuk kompaun taska. Pada 11 September lalu, Kertas Siasatan diterima dan TPR mohon untuk pendakwaan kepada Taska Indera Gemilang,” katanya.

Justeru Khairul Amri menasihati Ibu bapa serta penjaga disaran agar sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak mereka dihantar ke taska berdaftar di bawah JKM bagi mengelakkan berlakunya kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Saya ibarat meraung dalam senyap bila kematian anak tiada pembelaan – Nur Zahirah

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here