KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor sedang memantau rapi keadaan tumpahan minyak diesel di Hulu Sungai Slim Perak yang berlaku 8 malam tadi.
Dalam kenyataannya, LUAS berkata, kawasan tadahan Sungai Slim ini merupakan sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak yang mana aliran ini juga masuk ke Sungai Bernam di Negeri Selangor.
“Pasukan LUAS dan Air Selangor telah segera membuat semakan di Sungai Bernam dan muka sauk loji rawatan air (LRA) yang berada di aliran Sungai Bernam tersebut iaitu LRA Bernam River Headworks (BRH) serta mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim,” katanya.
Sehingga jam 1 pagi ini, pemantauan bau di lokasi tersebut mencatatkan bacaan 0 ton dan keadaan adalah terkawal. – MalaysiaGazette