BAYAN LEPAS – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong akan menerajui DAP Pulau Pinang sehingga 2027 selepas dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri baharu pada pemilihan parti itu hari ini.

Pemilihan Steven Sim, 42, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menepati ramalan meskipun beliau berada di kedudukan kedua dengan memperoleh sebanyak 1,237 undi daripada 1,452 perwakilan yang hadir.

Manakala Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang meraih undi tertinggi iaitu sebanyak 1,247 dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Negeri.

Selain itu, adik kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Hui Ying yang disebut-sebut antara nama bakal menerajui DAP negeri kekal dengan jawatan setiausaha negeri berada pada kedudukan ke-12 dengan memperoleh 827 undi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin meraih 1,225 undi manakala ADUN Tanjong Bungah, Zairil Khir Johari (1,116 undi) masing-masing dipilih sebagai Naib Pengerusi negeri.

Seramai 15 Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi sidang 2024 hingga 2027 yang memenangi pemilihan hari ini termasuk Danial Gooi Zi Sen (1,133); Lim Siew Khim (870); Soon Lip Chee (853); Phee Boon Chee (812); Teh Lai Heng (722) dan RSN Rayer mendapat 644 undi.

Sebanyak 31 calon bertanding bagi merebut 15 Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024-2027. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here