BAYAN LEPAS – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini menyerahkan tampuk kepimpinan parti selepas 25 tahun menerajui organisasi tersebut.
Dalam ucapan terakhirnya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang, Kon Yeow menggesa ahli parti untuk kekal bersatu bagi memastikan parti terus relevan dalam politik negeri.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menekankan kepentingan ahli untuk terus bekerja keras dan kekal setia kepada perjuangan parti.
“Kita mesti terus berusaha dengan dedikasi dan komitmen, berpandukan kepada visi dan misi parti serta harapan rakyat.
“DAP Pulau Pinang kini lebih kuat berbanding 25 tahun yang lalu saya harap pemimpin baharu akan terus membawa parti ke arah lebih relevan dalam perkembangan politik,” katanya pada Konvensyen DAP Pulau Pinang di SPICE Arena di sini, hari ini.
Mengimbau perjalanan sebagai pemimpin utama DAP negeri sejak dilantik Kon Yeow berkata, pelantikan itu berlaku selepas kekalahan Tan Sri Lim Kit Siang dan mendiang Tan Sri Karpal Singh pada Pilihan Raya Umum 1999.
“Ketika itu, saya berusia 41 tahun dan tanggungjawab meneruskan perjuangan politik DAP diletakkan di bahu saya dan pasukan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada parti dan para perwakilan yang telah memberikan sokongan kepadanya selama lebih dua dekad.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, DAP Pulau Pinang menyaksikan perkembangan pesat dengan pertambahan cawangan daripada 20 kepada hampir 300 serta peningkatan sokongan rakyat yang membolehkan parti terus memimpin kerajaan negeri bersama rakan gabungan selama empat penggal berturut-turut.