KUALA LUMPUR: Perbahasan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hendaklah dilakukan dengan penuh tertib, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat perlu memahami bahawa mahkamah, penjara dan pengampunan merupakan tiga perkara yang berbeza dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan negara.
Menurut Naib Presiden UMNO itu, mahkamah menjalankan proses perbicaraan, menentukan sabitan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang, manakala institusi penjara pula melaksanakan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Sementara itu, katanya, pengampunan merupakan suatu proses perlembagaan yang berasingan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Permohonan pengampunan bukanlah suatu perbicaraan semula, bukan rayuan tambahan di mahkamah dan bukan tindakan untuk mengambil alih fungsi badan kehakiman.
“Sebaliknya, pengampunan merupakan suatu kuasa mutlak dan budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada proses dan tatacara perlembagaan yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, tindakan memohon pengampunan Najib tidak bermaksud UMNO menolak keputusan mahkamah.
Kata beliau, menghormati keputusan mahkamah dan menggunakan proses pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan merupakan dua perkara yang boleh berjalan serentak dalam kerangka undang-undang negara.
Dalam masa sama, ujarnya, UMNO Pahang memandang serius tindakan sesetengah pihak yang secara terbuka mendesak supaya permohonan pengampunan tersebut tidak diperkenankan.
Tambahnya, kenyataan yang seolah-olah menetapkan keputusan yang mesti dibuat sebelum proses berkenaan selesai boleh dilihat sebagai suatu bentuk tekanan awam terhadap pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, katanya, UMNO Pahang menyeru semua pihak supaya menghormati peranan mahkamah dalam menentukan sabitan dan hukuman dan memahami bahawa pengampunan ialah suatu proses perlembagaan yang berasingan.
Selain itu, jelasnya, UMNO Pahang juga menyeru semua pihak tidak mendahului atau cuba mendesak keputusan dalam proses pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan; dan menjaga kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.
“UMNO akan sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan dan kestabilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















