Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) terhadap tiga anak lelaki pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau dikenali 'Abuya'

MELAKA – Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) terhadap tiga anak lelaki pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau dikenali Abuya.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membenarkan bon jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang terhadap ketiga-tiga orang yang disyaki (OYDS), masing-masing berusia 38, 42, dan 45 tahun itu dengan setiap mereka seorang penjamin tempatan.

Ia selepas permohonan dikemukakan oleh pegawai penguat kuasa JAIM bagi membolehkan ketiga-tiga OYDS disiasat mengikut Seksyen 63 dibaca bersama Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menghina dan mempersendakan agama Islam.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 36 bulan atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Yunus kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Oktober ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dalam Polis Melaka menahan 45 individu termasuk 34 kanak-kanak dalam serbuan di beberapa premis dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB di semua daerah negeri ini dalam Op Global.

Ketiga-tiga OYDS itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah dalam operasi yang dijalankan serentak di Melaka semalam.

Dalam serbuan selama 12 jam bermula 5 pagi, JAIM turut merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar Ashaari dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu dalam serbuan ke atas 19 premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, serbuan melibatkan 10 buah premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (8) dan sebuah premis di Jasin.

Buku-buku berkaitan Al-Arqam dirampas yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuklah Aurad Muhammadiyah, satu keping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan ajaran Al-Arqam, serban Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam – MalaysiaGazette

JAIM rampas 285 barang kes termasuk gambar pemimpin dan buku Al-Arqam

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here