Foto, Ihsan Pembaca.

BAGAN DATUK – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan dengan lima ekor lembu di KM24 Jalan Ferri, Hutan Melintang, di sini, kira-kira jam 8 malam pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Rohaizad Ahmad Zaid, 37, yang menunggang motosikal dari arah Sabak Bernam menuju ke Hutan Melintang maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, kejadian tersebut melibatkan dua buah motosikal, sebuah lori dan sebuah kereta dengan semua mangsa merupakan lelaki.

Menurut beliau, seorang lagi penunggang motosikal berusia 38 tahun mengalami cedera ringan manakala pemandu lori berusia 29 tahun dan pemandu kereta, 44 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan empat buah kenderaan itu berpunca daripada sekumpuan lembu melintas jalan dari kanan ke kiri.

“Ketika kejadian dua buah motosikal berkenaan dari arah Sabak Bernam menghala ke Hutan Melintang manakala lori dan kereta pula dari arah bertentangan,” katanya Ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here