Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah beramah mesra bersama jemaah Masjid Kampung Tengah ketika menghadiri Program Kenduri Rakyat sempena kempen pilihan raya kecil Dun Mahkota di Kluang. Foto SADIQ SANI, 20 SEPTEMBER 2024

BERBAKI lima hari lagi sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini – calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah semakin memperhebatkan gerak kerja kempen bertemu seramai mungkin pengundi.

Meskipun banyak pihak membuat ramalan BN bakal menang mudah, namun Syed Hussein enggan berasa selesa dan meletakkan matlamat meraih sebanyak mungkin undi dari penduduk pelbagai kaum.

Kepada sekumpulan wartawan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Syed Hussein berkongsi visi dan tumpuannya dalam memberikan khidmat kepada penduduk sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat DUN Mahkota.

Wartawan: Mengapa PRK DUN Mahkota ini penting kepada pengundi di sini?

Syed Hussein: Pentingnya PRK ini kerana ia menunjukkan kestabilan politik memandangkan Johor kini sedang menuju ke negeri maju pada 2030. Maka kestabilan itu penting bagi meyakinkan pelabur-pelabur untuk datang ke Johor.

Dalam masa sama, ia akan menunjukkan kekukuhan antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Pusat bagi membuktikan parti dan kerajaan ini diterima bukan sahaja dari segi ideologi fahaman politik malah dalam dasar kerajaan juga.

Sebab itu, bagi saya adalah amat merugikan jika pengundi di sini memilih parti pembangkang memandangkan PRK ini tidak boleh mengubah apa-apa kedudukan dalam kerajaan.

Sekiranya mereka salah mengundi, maka kesannya mereka akan terlepas dari soal peluang atau suara yang boleh diangkat kepada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat.

Memandangkan ini PRK, banyak pimpinan daripada negeri dan Pusat turun ke sini, jadi ini peluang kepada pengundi DUN Mahkota membawa suara mereka supaya diberi perhatian.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

Wartawan: Apa tumpuan yang akan diberikan sekiranya diangkat menjadi wakil rakyat DUN Mahkota?

Syed Hussein: Selepas PRK ini, kita akan menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh dua tahun lagi. Maka, visi saya untuk masyarakat Kluang ini adalah untuk menarik pakej-pakej daripada Kerajaan Negeri Johor dan dan Kerajaan Pusat untuk limpahan keuntungan anak muda.

Pada masa sama, soal kebajikan dan kerumitan yang melibatkan warga tempatan juga menjadi perkara pokok yang akan kita cuba atasi. Penduduk DUN Mahkota juga boleh lihat sendiri bagaimana banyak masalah yang kita sudah berikan perhatian misalnya isu banjir yang sering dipersoalkan.

Ini juga kita akan beri perhatian yang mana kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat bekerjasama untuk berbincang dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini perkara yang sudah kita angkat dan sudah dapat satu kata putus bagaimana untuk selesaikan masalah ini.

Wartawan: Bagaimana untuk tambat hati pengundi atas pagar, golongan muda dan silent voters?

Syed Hussein: Saya pun sebahagian orang muda, jadi ada beberapa perkara yang kita nampak penting kepada belia antaranya perkara yang biasa diangkat golongan ini adalah isu perumahan, pekerjaan, ekonomi dan pendidikan, itu antara perkara pokok.

Selain itu adalah perkara seperti kehidupan yang lebih selamat dan selesa serta ekonomi yang mapan. Berkenaan kumpulan silent voters, pada saya setiap pengundi ada pandangan masing-masing.

Ada sesetengah yang suka jadi feeder maksudnya suka bercakap perkara yang baik-baik. Ada sesetengah yang mahu jadi killer, dia akan cuba beri pandangan dengan cara yang keras.

Tetapi saya tidak melihat apa jua pandangan yang diberikan kepada saya itu sebagai perkara negatif, saya anggap apa sahaja komen itu merupakan satu nasihat dan dorongan kepada saya.

Saya percaya pengundi semakin bijak dari hari ke hari dan tahu bagaimana untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk dan mereka juga tahu apa yang perlu dilakukan demi masa depan yang baik untuk mereka.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah diiring oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi beramah mesra bersama pengundi Cina ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Che Luan Khor, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 16 SEPTEMBER 2024

Wartawan: Berhubung isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang, bagaimana mahu menjelaskannya kepada pengundi?

Syed Hussein: Isu kos sara hidup bukan perkara baharu, setiap kali pilihan raya umum atau PRK, kos sara hidup ini akan dijadikan modal politik.

Tetapi kita perlu lihat bagaimana pakej-pakej yang ditawarkan kerajaan seperti Jualan Rahmah dan Jualan Kasih yang dapat mengurangkan beban kos sarah hidup rakyat.

Malah hari ini pun kita dapat lihat bagaimana kerajaan cuba kawal harga diesel berikutan penurunan harga semasa.

Jadi, hasil dari penurunan harga diesel ini juga sekurang-kurangnya dapat menstabilkan harga barang.

Sama juga dalam isu melibatkan kekurangan beras sebelum ini yang mana kerajaan ada pakej bagaimana untuk mengimbangi keperluan rakyat semasa.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah menyantuni masyarakat India ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena pilihan raya kecil N29 DUN Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

Wartawan: Ada yang menilai PRK ini hambar dan wujud kebimbangan tidak ramai akan keluar mengundi?

Syed Hussein: Sepanjang saya turun ke lapangan saya tidak nampak hambar, cuma saya lihat ketidakseimbangan daripada segi soal kempen yang mungkin sebabkan keadaan seperti itu.

Saya sendiri bukan sehari dua turun ke lapangan, kempen kita bukan bermusim. Kita sentiasa memberikan khidmat bakti untuk masyarakat di Kluang.

Bila saya turun ke lapangan, saya dapat maklum balas yang positif dengan apa yang kita bantu dan berikan kepada rakyat.

Daripada segi soal sambutan penduduk, sememangnya kita tidak amalkan konsep ceramah mega. Kita lebih ke arah perjumpaan kelompok dan kempen dari rumah ke rumah.

Ini saya dapat rasakan lebih mesra dari segi soal sentuhan antara kita dengan pengundi.

Wartawan: Bagaimana dengan kemungkinan berlaku boikot dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina disebabkan isu-isu dalam Kerajaan Perpaduan?

Syed Hussein: Isu boikot ni sangat subjektif tapi saya mendoakan mereka (pengundi yang mahu boikot) dibukakan hati untuk melaksanakan tanggungjawab yang seharusnya mereka lakukan.

Boikot ini saya tak nampak daripada segi konteks parti kerana apabila saya turun sendiri berkempen, mungkin dalam keadaan saya boleh berbahasa Mandarin, saya dapat rasakan kemesraan dengan masyarakat Cina.

Misalnya, sebelum saya jumpa mereka, sebelum  saya perkenalkan diri pun, mereka yang sebut nama saya dulu. Sebab itu kalau mahu cakap soal boikot ini, ia sesuatu yang subjektif.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah beramah mesra bersama peniaga ketika melakukan ‘walkabout’ bersempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Pasar Malam Bukit Ayam, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

Wartawan: Apa yang ingin dikongsikan kepada anak rantau supaya pulang mengundi Sabtu ini?

Syed Hussein: Sebagai calon anak watan yang sedar saya tidak sempurna, saya akan cuba buat yang terbaik sekiranya diberikan peluang.

Maka kepada semua anak-anak Kluang yang ada di luar kawasan, saya menyeru dan merayu untuk pulang ke kawasan bagi menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Pilihlah calon yang boleh memberi masa depan dan jaminan yang baik untuk anak bangsa dan masyarakat. Jangan sia-siakan peluang yang ada untuk kita adaptasikan perkara-perkara yang baik untuk masyarakat dan ahli keluarga kita di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast