Keadaan sebuah kedai pakaian selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Pantai Chenang, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Tertekan pedal minyak ketika mengambil telefon bimbit yang terjatuh di bahagian kaki punca pemandu sebuah kereta rempuh kedai pakaian di Jalan Pantai Chenang di sini, hari ini.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 23 tahun itu sedang memandu kereta jenis Perodua Axia melalui Lorong Sultan Abdul Halim 2.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Bagaimanapun ketika memandu, lelaki berkenaan tidak sengaja tertekan pedal minyak semasa cuba mencapai telefon bimbitnya yang terjatuh di bahagian kaki.

“Tindakan itu menyebabkan dia hilang kawalan sebelum kereta yang dipandunya merempuh sebuah lot kedai yang terletak di tepi jalan tersebut.

“Rempuhan itu menyebabkan kerosakan pada premis dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shariman, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

“Kita nasihatkan orang ramai agar sentiasa fokus semasa memandu dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengalihkan perhatian termasuk menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 42 saat menunjukkan sebahagian tembok sebuah kedai pakaian rosak dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here