Para peserta Persidangan Antarabangsa Halal dan Fatwa (ICCoHaF) anjurann Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia.

KUALA LUMPUR – Lebih 110 orang peserta dari 13 buah negara menyertai Persidangan Antarabangsa Halal dan Fatwa (ICCoHaF) anjurann Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 18 hingga 19 September 2024 baru-baru ini.

Program itu turut dihadiri oleh rakan strategik daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan University Diponegoro, Indonesia.

Naib Canselor Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan perasmiannya berkata, persidangan ini diadakan dengan tujuan untuk menyediakan platform bagi perbincangan secara tuntas melalui pertukaran ilmu dan analisis kritikal terhadap isu-isu Halal dan Fatwa semasa.

Persidangan ini mengangkat kepentingan industri Halal yang semakin berkembang dan bertujuan untuk meneroka pelbagai dimensi, cabaran, dan peluang di kalangan pemain industri Halal seluruh dunia.

Industri halal yang merangkumi makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik, dan barangan pengguna lain telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara dan pengiktirafan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pensijilan halal memastikan produk mematuhi undang-undang dan standard dan etika yang ditetapkan sekali gus memberi jaminan kepada para pengguna Islam.

“Justeru itu, halal juga tidak boleh mengetepikan elemen fatwa yang merujuk kepada pendapat dan hukum syarak yang disediakan oleh para sarjana Islam berdasarkan pemahaman mereka tentang sumber, prinsip dan perundangan Islam.

“Fatwa juga adalah sangat penting dalam membimbing umat Islam terhadap kepercayaan, etika, tingkah laku sosial dan peranan mereka dalam komuniti. Oleh itu, persidangan ini merangkumi ucaptama, perbincangan panel dan pembentangan penyelidikan mengenai pelbagai topik berkaitan Halal dan Fatwa dalam menangani isu-isu semasa, ujarnya lagi.

Sementara itu, Pegarah IFFAH, Profesor Dr. Azman Ab Rahman menekankan kepentingan Fatwa dan Halal ke arah pemerkasaan industri Halal global.

Satu cabaran besar untuk memastikan rangkaian dan organisasi makanan global berdaya tahan dalam impak sosial adalah dengan mengekalkan keselamatan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian bekalan, termasuk makanan halal, yang telah digunakan oleh lebih 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Ujarnya lagi, penggunaan AI, IoT, blockchain dan data besar seharusnya diperluaskan untuk menambah kecekapan mengurus rantaian bekalan makanan halal dan memastikan kebolehkesanan dan integriti Halal merentas semua sektor dalam ekosistem halal global dan domestik.

Rangka kerja baharu kerjasama antara negara dan organisasi global, serta kuasa pasaran, permintaan pengguna dan peraturan kerajaan, boleh digembeling ke arah penyampaian ekosistem Halal global baharu dengan tanggungjawab sosial sebagai langkah ke terkehadapan.

Sesi forum ini turut menampilkan panel-panel yang berkaliber dan terkehadapan dalam bidang masing-masing antaranya Profesor Dr. Irwandi Jaswir dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Dr Zulkifly bin Muda dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan wakil industri Puan Rozaina Mahmod dari Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd.

Manakala sesi pembentangan pada hari kedua diteruskan dengan penceramah jemputan dari Halal Control Germany, Universiti Diponegoro, Indonesia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei, Tuzla University, Bosnia & Herzegovina, Wakayam University, Jepun dan dari Pusat Sains Halal, Chulalongkorn Universiti, Thailand. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast