Hazri Mokhtar, 45, mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM133,000, empat tahun lalu.

MELAKA – Bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM133,000, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hazri Mokhtar, 45, mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didapati gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penerimaan secara rasuah wang berjumlah RM133,000.

Nilai berkenaan sebagai upah untuk membantu mempercepat bayaran oleh Pos Malaysia Berhad kepada Syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd bagi kerja-kerja outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.

Kesalahan itu dilakukan dalam 17 transaksi berasingan di Bank Simpanan Nasional Melaka Main, Lot No. 779, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main No. 114 & 114A, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah antara antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran buat dirinya dan masyarakat.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani merayu hukuman ringan kerana tertuduh kini hanya berniaga kecil-kecilan selain menyara tiga anak berusia antara 8 dan 20 tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau 51 bulan penjara jika gagal melunaskan denda berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here