Mangsa, Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, meninggal dunia pada pukul 9.40 malam dan 12.30 pagi tadi ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka selepas motosikal ditunggang mereka merempuh kontena sampah pukal roro.

MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan lima tahun dan abangnya maut selepas motosikal ditunggang ketika dalam perjalanan menziarahi pusara bapa mereka merempuh kontena sampah pukal roro di bahu Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu mangsa, Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, disahkan doktor meninggal dunia pada pukul 7.40 malam dan 12.30 pagi tadi ketika dirawat di zon merah Hospital Melaka.

Lebih memilukan, nahas menimpa anak sulung dan bongsu daripada tiga beradik itu disaksikan sendiri ibu mereka, Norizan Ujak, 40, yang mengekori dari belakang dengan menunggang sebuah motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semasa kejadian dua beradik itu menaiki motosikal jenis Demak DV110 sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.

Keadaan motosikal dinaiki dua beradik itu selepas mereka merempuh kontena sampah pukal roro di bahu Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat , Krubong, Melaka petang semalam.

“Sebaik tiba di lokasi nahas, penunggang dipercayai tidak perasan sebuah kontena roro sampah berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka dan menerima rawatan lanjut di zon merah.

“Doktor kemudian mengesahkan Muhammad Amirul meninggal dunia pada pukul 7.40 malam diikuti adiknya kira-kira 12.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa akan di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan kertas arahan telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

“Polis turut mengesan pemilik roro terbabit dan saksi bebas yang melihat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here