SUNGAI PETANI- Tangkapan terhadap seorang wanita berkaitan kes kehilangan Sabari Baharom, 62, sejak 3 Sept lepas memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga warga emas itu.
Anak sulung Sabari, Suraiya Izzaty Sabari, 29, berkata dia telah dimaklumkan oleh pihak polis semalam berhubung tangkapan itu.
“Saya rasa lega apabila menerima berita tersebut…walaupun ayah belum dapat dijejaki namun saya yakin polis akan menjalankan siasatan dengan teliti.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2024/09/10/anak-mohon-bantuan-orang-ramai-kesan-ayah-hilang/
“Kami tidak mengenali individu yang ditahan itu dan dia juga bukan dalam kalangan kenalan ayah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Suraiya Izzaty memaklumkan ayahnya sangat rapat dengan anak-anak dan saban hari berhubung menerusi telefon walaupun hanya dengan panggilan singkat.
Menurutnya apabila ayahnya tiba-tiba menghilang dan tidak menghubungi mereka timbul rasa aneh dan bimbang mengenai keadaan lelaki itu.
“Saya harap sangat dapat jumpa ayah segera dan kami sekeluarga dapat berkumpul macam dulu…firasat saya kuat mengatakan bahawa ayah masih hidup,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan penahanan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan bekas pegawai kewangan di sebuah agensi kerajaan itu hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja.
Kehilangan Sabari disedari anggota keluarga selepas telefon bimbitnya gagal dihubungi selain terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang dalam akaun bank miliknya yang dikesan dibuat dua hari selepas kehilangannya.
Kereta pesara itu pula dilaporkan ditemukan hangus terbakar di Belantik, Sik, namun tiada kelibat Sabari di dalam kenderaan tersebut.
— BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN