Zairul Anwar merasmikan PASTIK24

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 24) menerusi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) di Theatrette Ahmad Nisfu bermula semalam.

Sebanyak 53 kertas kerja yang bertemakan Seni dalam Gagasan Budaya Madani dihimpunkan dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari.

Ia merangkumi muzik, penulisan kreatif, perfileman, seni tari, teater dan teknologi seni visual.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, tema tersebut bertepatan dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut teknologi tetapi juga kaya dengan nilai-nilai seni dan budaya.

“Dalam konteks gagasan madani, seni dan budaya memainkan peranan penting sebagai cerminan identiti dan sebagai medium untuk menyatukan masyarakat.

“Melalui seni, kita mampu merakam dan menyampaikan nilai-nilai kemanusiaan, kerjasama dan keharmonian yang menjadi asas kepada masyarakat yang seimbang dan progresif.

“Di era digital yang serba canggih ini, bagi saya seni itu mampu merubah cara kita berkomunikasi, berkarya, dan berinteraksi,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan itu.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Dekan ASTiF, Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md Dawam.

Tambah beliau, persidangan tersebut akan menjadi medan perbincangan yang subur dan menghasilkan idea-idea yang berimpak tinggi.

“Ia mampu mengukuhkan lagi hubungan kita dalam dunia seni dan teknologi kreatif, selai membina jaringan yang kuat di antara kita untuk terus memajukan seni dan budaya dalam kerangka madani, yang akhirnya akan memperkukuhkan kedudukan kita di persada antarabangsa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast