Oleh: Dr. Nurzalinda Zalbahar

TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan satu daripada lima kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia adalah bantut, dengan kadar prevalensi sebanyak 21.2%. Ini menunjukkan bantut masih merupakan isu yang memerlukan perhatian segera di negara ini. Namun, kajian juga menunjukkan bahawa isu bantut dapat dicegah sekiranya intervensi awal dilakukan dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan.

Oleh itu, penekanan terhadap inisiatif ini sangat relevan untuk menurunkan kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Tempoh 1,000 hari pertama kehidupan merangkumi tempoh sembilan bulan kehamilan dan dua tahun pertama selepas kelahiran, merupakan fasa kritikal bagi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

Pada fasa ini, nutrisi yang diterima oleh ibu dan anak memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan fizikal, kognitif, dan emosi kanak-kanak. Sebarang kekurangan nutrisi atau malpemakanan yang berlaku dalam tempoh ini boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang, termasuk bantut, yang boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.

Nutrisi yang mencukupi semasa tempoh kehamilan hingga bayi berusia dua tahun adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan yang optimum. Bagi ibu, nutrisi yang baik membantu melalui kehamilan dengan lebih sihat dan mengurangkan risiko komplikasi.

Ia juga memastikan janin berkembang dengan baik dalam rahim, mengurangkan risiko kelahiran pramatang atau berat lahir rendah, yang juga boleh menjadi faktor risiko bagi masalah bantut di kemudian hari. Kanak-kanak yang mengalami bantut akan menghadapi kesan yang berpanjangan terhadap kesihatan dan kehidupan mereka. Dari segi fizikal, bantut menyebabkan kanak-kanak mempunyai ketinggian yang lebih rendah daripada purata bagi umur mereka.

Tetapi yang lebih membimbangkan adalah kesan terhadap perkembangan kognitif dan mental. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengalami bantut mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kesukaran dalam pembelajaran, masalah kesihatan mental, dan kurang produktif apabila mencapai usia dewasa.

Lebih daripada itu, bantut juga memberi kesan terhadap pembangunan sesebuah negara. Kanak-kanak yang mengalami bantut berpotensi untuk menjadi golongan dewasa yang kurang produktif, mempunyai kesihatan yang lebih rapuh, mudah berisiko mendapat penyakit tidak berjangkit seperti obes, kencing manis dan hipertensi. Ini bermakna, jika isu ini tidak ditangani secara berkesan, ia bukan sahaja akan menjejaskan kesejahteraan individu, tetapi juga memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Oleh itu, usaha mencegah bantut bukan sahaja berkaitan dengan kesihatan
awam, tetapi juga dengan kesejahteraan dan kemajuan jangka panjang negara.

Peranan suami dan bapa dalam mencegah bantut

Salah satu aspek penting dalam pencegahan bantut yang sering kali diabaikan ialah peranan suami atau bapa sebelum dan semasa kehamilan. Sokongan yang baik daripada suami atau bapa dapat memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan nutrisi isteri hamil dan bayi dipenuhi. Sebelum kehamilan, suami boleh memainkan peranan dengan memastikan pasangan mereka mendapat pemakanan yang seimbang dan sihat. Nutrisi yang mencukupi sebelum kehamilan membantu mempersiapkan tubuh wanita untuk hamil dan melahirkan anak yang sihat.

Ini termasuk memastikan isteri mendapat makanan yang kaya dengan protein, vitamin, dan mineral penting seperti zat besi, kalsium, dan asid folik. Asid folik penting dalam mengelakkan kecacatan tiub neural pada bayi, yang boleh berlaku pada peringkat awal kehamilan. Suami yang bertanggungjawab terhadap pemakanan isteri dapat membantu memastikan kehamilan berjalan dengan lebih lancar, seterusnya mengurangkan risiko bayi dilahirkan dengan masalah berat badan rendah atau kekurangan nutrisi yang boleh menyebabkan bantut.

Selain itu, peranan bapa dalam meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dan pemakanan juga penting. Sebagai ketua keluarga, bapa boleh memperkaya dirinya dengan pengetahuan mengenai pemakanan yang sesuai untuk persediaan kehamilan dan pertumbuhan janin. Dengan memahami kepentingan pemakanan yang baik sebelum dan semasa kehamilan, suami dapat menjadi pendorong untuk isteri mereka menjaga kesihatan dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan berkala. Ini termasuk galakan untuk mengambil suplemen prenatal (sebelum kehamilan) yang disyorkan oleh doktor serta menjalani ujian kesihatan bagi memastikan tubuh wanita berada dalam keadaan terbaik sebelum kehamilan.

Mengamalkan gaya hidup sihat sebagai suami atau bapa

Di samping memberi sokongan kepada isteri, lelaki juga perlu menjaga kesihatan mereka sendiri. Gaya hidup sihat memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan sperma yang baik, yang penting bagi perkembangan janin yang sihat. Lelaki perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang, bersenam secara teratur, dan menghindari tabiat buruk seperti merokok dan pengambilan alkohol yang berlebihan. Kajian telah menunjukkan bahawa merokok dan alkohol boleh mengurangkan kualiti sperma, sekali gus menjejaskan peluang untuk mendapatkan anak yang sihat. Stres juga merupakan faktor yang boleh memberi kesan kepada kesihatan sperma dan peluang untuk isteri hamil dengan sihat.

Oleh itu, suami perlu menguruskan stres dengan baik, sama ada melalui bersenam, berbincang dengan pasangan, atau mengamalkan aktiviti-aktiviti yang dapat menenangkan minda. Dengan mengekalkan gaya hidup sihat, lelaki bukan sahaja membantu dalam proses kehamilan tetapi juga memastikan anak yang dilahirkan mempunyai peluang yang lebih baik untuk membesar dengan sihat dan terhindar daripada masalah bantut.

Kerjasama dalam mencapai kehamilan yang sihat

Pencegahan masalah bantut memerlukan kerjasama antara suami dan isteri. Peranan bapa tidak terhad kepada penyediaan kewangan semata-mata, tetapi juga termasuk sokongan emosi, fizikal, dan kesedaran kesihatan. Ini termasuk memastikan persekitaran rumah yang sihat dan selamat untuk isteri dan bayi, memberikan dorongan kepada isteri untuk mengambil pemakanan yang betul, serta sentiasa peka terhadap keperluan nutrisi bayi selepas kelahiran.

Setelah bayi dilahirkan, suami juga perlu terlibat dalam penjagaan anak dan memastikan mereka mendapat nutrisi yang mencukupi, terutamanya melalui penyusuan ibu. Penyusuan susu ibu eksklusif selama enam bulan pertama adalah sangat penting untuk memastikan bayi menerima semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan optimal. Setelah bayi mula makan makanan pejal, bapa boleh membantu dalam memastikan makanan yang diberikan adalah berkhasiat dan sesuai untuk tumbesaran anak.

Kesimpulannya, pencegahan masalah bantut di kalangan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab ibu, tetapi juga memerlukan penglibatan aktif bapa. Melalui sokongan yang diberikan sebelum dan semasa kehamilan, serta selepas kelahiran, suami boleh memainkan peranan yang besar dalam memastikan anak yang bakal lahir membesar dengan sihat dan bebas daripada masalah bantut. Dengan langkah-langkah yang proaktif dan kerjasama antara pasangan, kita dapat membantu menurunkan kadar bantut di Malaysia, sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan generasi masa depan.

Penulis dari Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here