KUALA LUMPUR – Aplikasi Telegram direkodkan sebagai medium paling tinggi digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan dengan 1,455 kes dilaporkan sejak Januari sehingga September tahun ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sejumlah 4,205 kes telah dikesan melibatkan 17 medium, dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM526,970,796.87.
“Turut diikuti adalah Facebook dan Whatsapp masing-masing merekodkan 1,035 dan 958 kes.
“Untuk rekod, sepanjang Januari hingga 23 September 2024, sejumlah 1,369 akaun bank milik 487 syarikat dan perniagaan dikesan telah digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket ini,”.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dengan kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Orang ramai diminta supaya tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan seperti ini dan buatlah pertimbangan yang sewajarnya sebelum terima sebarang tawaran kerja,” katanya.- MalaysiaGazette