Muhammad Syawal, 14, yang dilaporkan hilang oleh ibunya rupa-rupanya melepak dan bermalam di rumah rakannya di Kampung Melayu, Kluang dan ditemukan semalam

KLUANG – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya Selasa lalu, sudah ditemui selamat.

Dia bukan hilang selepas laporan keluarganya kepada polis, tetapi melepak  dan bermalam di rumah kawan untuk bermain PlayStation 2 (PS2).

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Selasa lalu keluarga Muhammad Syawal Abdullah, 14, membuat laporan polis kehilangannya.

“Remaja lelaki itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Jalan Dahlia, Kampung Melayu di sini dan ditemukan dalam keadaan selamat awal pagi semalam.

“Sepanjang kehilangannya itu, Muhammad Syawal berada di rumah rakannya di kampung yang sama.

“Pada pukul 3.30 pagi, remaja lelaki itu telah dilihat oleh ibu dan ayahnya berada di rumah mereka.

“Remaja berkenaan memberitahu dia berada di rumah kawannya untuk lepak dan bermain permainan PS2,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, remaja lelaki itu juga ada menyatakan, dia pulang ke rumah semasa ketiadaan ibu dan ayanhnya dan hanya balik ke rumah untuk mandi dan makan.

Jumaat lalu media melaporkan, polis sedang nengesan remaja berkenaan yang dilaporkan hilang oleh ibunya selepas kali terakhir di rumahnya pukul 7.30 pagi Selasa.

Menurut ibunya, keluarga mereka sudah mencari mangsa di rumah saudara-mara, jiran-jiran serta rakan namun masih tidak ditemui.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast