Tangkap layar video insiden panas membabitkan Arif Aiman Mohd Hanapi dan Tommy Mawat Bada pada perlawanan Perak FC-JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 November lalu.

KUALA LUMPUR – Aksi perlawanan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi menimbulkan persoalan peminat bola sepak apabila tiada kad merah dilayangkan selepas berlaku aksi tumbuk-menumbuk.

Menerusi ulang tayang video, jelas memaparkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada sebelum dileraikan pemain lain termasuk pengadil, Razlan Joffri Ali.

Bagi pendapoat netizen, kad merah perlu dilayangkan kepada  tindakan ganas berdasarkan peraturan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di mana sepatutnya pemain sayap kebangsaan itu perlu dibuang padang kerana menumbuk pemain lawan.

Pada insiden pada minit ke-83 itu, Tommy dilihat merampas bola dari Arif Aiman secara kasar yang mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pemain sebelum pemain sayap JDT itu melepaskan tumbukan

Arif Aiman Hanapi. Foto FB JDT.

Sebelum ini, terdapat kes terdahulu dalam Liga Malaysia di mana penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana menumbuk kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada tahun 2022.

Malah, pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris yang menumbuk muka pemain Terengganu FC, Issey Farran Nakajima pada 2017 turut dilayangkan kad merah dan digantung empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia.

Sementara itu, dua lagi insiden yang tercetus pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim yang mana Perak turun selaku pasukan tuan rumah turut menjadi persoalan peminat.

Perak tidak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 meskipun pertahanan JDT, Feroz Baharudin mengasari Clayton Silveira ketika perebutan bola dan semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan tiada sepakan penalti.

Namun berbeza buat JDT apabila kekasaran dilakukan pertahanan Perak ke atas Bergson di hujung babak pertama menyaksikan mereka dihadiahkan sepakan penalti oleh VAR dan ia mudah disempurnakan Bergson untuk kedudukan 4-0 buat Harimau Selatan.

JDT menang besar 5-0 pada aksi Liga Super yang tertunda dua kali kerana faktor cuaca dengan Perak memilih untuk beraksi di Iskandar Puteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast