Kaesang dan isterinya, Erina

JAKARTA- Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) telah selesai melakukan semakan dalaman terhadap penjelasan Kaesang Pangrep berhubung dakwaan rasuah semasa menggunakan sebuah jet peribadi untuk pergi ke Amerika Syarikat.

Jurucakap KPK, Tessa Mahardhika berkata, kepimpinan agensi itu telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan dapatan analisis.

Katanya, sementara menantikan keputusan muktamad dibuat, KPK ketika ini sedang berada di peringkat akhir proses pentadbiran sebelum mendedahkan dapatan tersebut kepada umum.

Menurut Mardhika, KPK maklum mengenai minat awam terhadap perkara tersebut dan berharap pengumuman dapat dibuat dalam minggu ini.

“Kami menjangkakan dapatan analisis akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin minggu ini.

“Kami memahami kehendak orang ramai yang mahukan kes ini dimuktamadkan segera,” katanya.

Kaesang yang merupakan anak bongsu Presiden Joko Widodo berdepan kecaman ramai di media sosial selepas didapati menggunakan jet peribadi untuk pergi ke Amerika Syarikat bersama Erian Gudona ketika Dewan Perwakilan Rakyat berdepan protes besar-besaran susulan cubaan untuk meminda undang-undang pilihan raya wilayah, Ogos lalu.

Protes tersebut menyebabkan Kaesang terpaksa menarik diri daripada pemilihan gabenor.

Warga net terutamanya pengguna X, membincangkan terdapat kemungkinan berlaku rasuah selepas melihat Erina memuat naik gambar hiasan dalaman jet peribadi berkenaan dan lawatan mewahnya di Instagramnya.

Sebelum berangkat ke AS, Erina mengumumkan beliau akan menerima biasiswa untuk belajar dasar sosial di University of Pennyslvania.

Bagaimanapun, beberapa orang rakyat Indonesia telah menghantar surat kepada universiti berkenaan dan mempersoalkan kesahihan biasiswa tersebut kerana Erina datang daripada keluarga yang berada.

Susulan itu, Koordinator Masyarakat Anti Rasuah Indonesia (MAKI), Boyamin Saiman dan pensyarah Universiti Negara Indonesia, Ubaidilah Badrun membuat laporan mengenai Kaesang kepada KPK.

Setelah menerima tekanan hebat daripada orang awam, Kaesang akhirnya “menyerah diri” kepada KPK bagi memberi penjelasan terhadap penggunaan jet peribadi tersebut dan dalam masa sama menjawab dakwaan rasuah terhadap beliau.

“Saya ingin memberi penjelasan berhubung pemergiaan saya ke AS pada 18 Ogos 2024, saya sebenarnya menumpang sebuah pesawat yang dimiliki seorang kawan,” katanya yang juga Pengerusi Parti Solidariti Indonesia.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi maklumat terperinci berhubung perjalanan tersebut dan meminta supaya sebarang pertanyaan diajukan terus kepada KPK.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast