Azmin ketika ditemuramah dalam program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian, Kluang, hari ini.

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) tidak bergantung kepada kelemahan dan perbalahan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengarah Bilik Gerakan Utama (BGU) PN bagi PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya tidak melihat perkembangan itu sebagai satu kelebihan untuk gabungan politik tersebut.

Sebaliknya, Ketua Penerangan PN itu mahu jentera terus bekerja keras untuk menang PRK tersebut.

“Kita tidak mahu bergantung kepada perbalahan antara mereka. Kita kena kerja kuat. Saya telah arahkan jentera peringkat negeri dan bahagian ambil komitmen untuk kerja kuat.

“Soal mereka bergaduh itu soal masalah mereka, saya tidak mahu campuri urusan mereka,” katanya mengulas sama ada perbahalan BN dan PH itu memberi keuntungan kepada PN.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program makan tengah hari Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama media di Taman Seri Impian di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok bertelagah berkenaan isu pensijilan halal.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini melaporkan Teresa berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Kenyataan itu mendapat bantahan Dr Akmal dan menerusi satu hantaran video dalam TikTok sebelum ini, beliau melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here