VIRGINIA – Para pekerja Boeing tidak berminat dengan tawaran baharu yang dibuat oleh syarikat pembuat pesawat itu.
“Banyak komen menyatakan tawaran itu tidak mencukupi,” kata Association of Machinists and Aerospace Workers (IAM) dalam catatan di X.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Boeing membuat tawaran baharu awal minggu ini kepada pekerja yang mogok, dengan mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 30% dalam tempoh empat tahun.
Pada hari Isnin, Boeing telah mengumumkan tawaran gaji “terbaik dan terakhir”, termasuk pengembalian semula bonus prestasi, faedah persaraan yang lebih baik dan bonus AS$6,000 sekali sahaja dalam perjanjian gaji baharu.
Syarikat itu berkata tawaran itu bergantung pengesahan oleh ahli kesatuan menjelang waktu pasifik tengah malam pada hari Jumaat, 27 September (7:00 GMT pada hari Sabtu 28 September).
Bagaimanapun, IAM berkata, Boeing telah menghantar tawaran baharu itu terus kepada ahli kesatuan dan media tanpa memberitahu wakil kesatuan.
Ia juga berkata, berdasakantarikh akhir yang diberikan, Boeing didakwa tidak memberi masa yang cukup kepada kesatuan untuk mengatur undian oleh ahlinya.
Boeing menafikan dakwaan ia tidak memaklumkan wakil IAM tentang tawaran itu.
Sebaliknya, syarikat pembuat kapal terbang gergasi itu berkata, ia akan memberi kesatuan lebih masa, serta sokongan logistik, untuk undian ahlinya.
Sebelum ini, para pekerja Boeing mogok kerana mereka menolak kenaikan gaji sebanyak 25%.
Lebih 30,000 pekerja Boeing telah melancarkan mogok sejak 13 September selepas menolak tawaran kenaikan gaji tersebut.
Ahli kesatuan – yang menghasilkan pesawat termasuk 737 Max dan 777 – mengundi secara besar-besaran untuk menolak tawaran dan tindakan mogok sehingga persetujuan dicapai.
IAM pada mulanya menyasarkan beberapa penambahbaikan pada pakej pekerja, termasuk kenaikan gaji sebanyak 40%.
Mogok itu mengancam kos Boeing berbilion-bilion dolar, mengukuhkan krisis di syarikat yang sedang berdepan cabaran besar. – Agensi